SYDNEY: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di Australia Barat selepas didakwa membuat ancaman serangan terhadap sebuah masjid di Sydney melalui media sosial, dengan merujuk tragedi berdarah di Christchurch pada 2019.
Komen yang dimuat naik di halaman Instagram masjid itu mengancam untuk melancarkan serangan ‘Christchurch 2.0’ di Edmondson Park di barat Sydney, merujuk insiden keganasan di New Zealand yang mengorbankan 51 jemaah.
“Berikutan satu rujukan kepada polis Australia Barat pada Selasa, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan di Eaton.
“Dia kini ditahan untuk membantu siasatan,” kata polis New South Wales dalam kenyataan, kelmarin.
Masjid tersebut secara rasmi dibuka pada Jumaat lepas, serentak sempena menyambut Ramadan.
Susulan itu, Presiden Rumah Islam Australia, Mazhar Hadid menegaskan masjid perlu dilindungi daripada kebencian dan keganasan.
“Kami amat bimbang dengan ancaman itu dan memandang serius perkara tersebut.
“Kami juga menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan bersatu menentang Islamofobia serta segala bentuk kebencian,” katanya.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, mana-mana individu yang bertanggungjawab melakukan ancaman sedemikian, harus berdepan dengan tindakan tegas undang-undang.
“Tiada tempat untuk perkara seperti ini di Australia… rasisme dan Islamofobia tidak akan diterima,” katanya dalam satu kenyataan.– THE GUARDIAN











