PETALING JAYA: Gempa bumi kuat yang melanda tengah Myanmar kelmarin turut dirasakan gegarannya di Bangkok, Thailand.
Seorang rakyat Malaysia yang juga penerbit buku, Irfan Ramli, 34, turut merasai gegaran selama lebih kurang 75 saat ketika dia menghadiri penganjuran Bangkok Book Fair 2025 dan Bangkok Rights Fair 2025 di Queen Sirikit National Convention Center.
Katanya, sewaktu gempa bumi berlaku, dia dan penganjur sedang membuat lawatan ke tapak majlis bersama penerbit-penerbit buku yang lain.
“Saya ingat saya mahu pitam sebab rasa terhuyung-hayang. Selepas itu, saya pelik tiba-tiba nampak semua orang panik dan berlari ke arah pintu keluar bangunan.
“Kawan saya beritahu ini kali pertama terjadinya gempa bumi di Bangkok. Jadi, orang ramai tidak bersedia dan tidak tahu tentang langkah-langkah keselamatan sewaktu bencana,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.
Tambahnyai, dia tidak mengalami apa-apa kecederaan fizikal tetapi masih berasa pening, dipercayai akibat kesan gegaran susulan di sana.
“Alhamdulillah saya selamat cuma sampai sekarang masih ada rasa pening dan cepat penat. Mungkin kesan selepas gegaran,” katanya.
Dia turut dimaklumkan pejabat Kedutaan Malaysia di Bangkok juga terjejas akibat gempa tersebut.
“Selepas kejadian gegaran itu, kami mendapat makluman pejabat Kedutaan Malaysia juga terjejas menyebabkan kami tidak boleh ke sana,” katanya.
Ditanya keadaan terkini di Bangkok, Irfan memberitahu, aktiviti sudah berjalan seperti biasa dan keadaan masih terkawal.
“Pada awalnya, saya cuma risau tidak dapat balik beraya kerana semasa gempa bumi berlaku semua pergerakan dihadkan namun syukur semua sudah seperti biasa,” katanya lagi.
Sementara itu, Nik Mohamad Fahmie Mahmood, 33, turut merasai gegaran tersebut ketika berada di pusat beli-belah MBK Mall, Bangkok.
“Saya dan beberapa rakan di Thailand untuk acara pelancaran kasut baharu berjenama pada 28 Mac. Sementara menunggu acara bermula pada pukul 6 petang, kami keluar ke MBK Mall sekitar pukul 1
“Ketika di tingkat empat, tiba-tiba saya rasa pening dan nampak lampu serta barangan jatuh. Orang ramai mula panik dan menjerit lari, kami segera berlari keluar dan tidak dibenarkan masuk semula.
“Di hotel, rakan-rakan turut turun kerana merasai gegaran. Kami menginap di tingkat 25 dan 26, dan bilik mengalami keretakan. Pihak hotel hanya membenarkan kami masuk semula pada pukul 6 petang manakala pusat beli-belah ditutup sepenuhnya.” katanya. – UTUSAN










