MARAN: Gajah denak, Rambai dan Senum bukan sahaja membantu menangkap lima ekor gajah liar yang menceroboh ladang kelapa sawit peneroka di Felda Jengka 1 di sini, malah turut mencipta ‘ikatan erat’ dengan penduduk setempat di situ.
Setelah berakhir operasi selama seminggu yang bermula 10 Mac lalu, dua gajah denak itu seolah-olah ‘berat hati’ mahu meninggalkan kawasan tanah rancangan berkenaan.
Mahut (pengembala) Rambai, Mohd. Suhairi Ishak, 34, berkata, gajah denak itu bukan sekadar haiwan terlatih, malah rakan seperjuangan dalam operasi.
“Rambai tahu tugasnya mendekati, memujuk dan menenangkan gajah liar. Sepanjang di sini, dia dijaga baik oleh penduduk. Jadi saya yakin Rambai juga merasakan perpisahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mahut Senum, Hisham Idris, 34, pula berkata, gajah denak itu menunjukkan tingkah laku seolah-olah enggan bergerak ketika tiba masa untuk pulang.
“Mungkin Senum sudah biasa suasana di sini. Kami bersyukur operasi ini berjaya dan kami akan pastikan Senum berehat secukupnya sebelum misi seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Jengka 1, Abdullah Ani, 69, berkata, kehadiran dua gajah denak itu membantu operasi menangkap gajah liar yang merosakkan ladang sawit peneroka di situ.
“Tanpa mereka, tugas lebih sukar. Penduduk pasti akan merindui kelibat mereka,” katanya.
Penduduk, Mohd. Khairi Mohd. Syukuri, 45, yang membantu menyediakan makanan untuk Rambai dan Senum berkata, gajah denak tersebut tidak pernah dibiarkan lapar atau dahaga.
“Seronok melihat haiwan itu bermain air dan makan dengan selera. Kini Rambai dan Senum sudah pulang dan kami mendoakan gajah denak ini supaya terus sihat,” katanya. – UTUSAN










