PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan risiko gempa bumi yang boleh membunuh atau memusnahkan harta benda kerana negara ini secara amnya berada di luar zon aktif gempa, kecuali beberapa kawasan di Sabah.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian Akademi Profesor Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo, perhatian harus diberikan terhadap gegaran yang berpotensi merosakkan struktur serta mengganggu ketenteraman awam, terutamanya bagi penghuni bangunan tinggi.
Beliau berkata, kejadian gempa bumi besar berukuran magnitud 7.7 yang melanda Mandalay, Myanmar kelmarin berlaku akibat pergerakan patahan besar di sempadan keping tektonik India dan blok Sunda iaitu kawasan perlanggaran antara benua India dan Asia.
“Gempa bumi berskala besar seperti ini berlaku kira-kira 18 kali setahun di seluruh dunia.
“Dengan magnitud sebesar itu, tenaga yang dilepaskan boleh menyebabkan gegaran sehingga ratusan kilometer dari pusat gempa,” katanya dalam kenyataans semalam.
Media melaporkan, lebih 1,000 orang disahkan maut manakala ratusan lagi cedera selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda berhampiran bandar Mandalay, Myanmar dengan gegeran kuat serta runtuhan bangunan turut berlaku di Bangkok, Thailand.
Sementara itu, Ibrahim berkata, gegaran kuat turut dirasai sejauh Pulau Pinang, hasil daripada patahan sesaran utara-selatan dengan anjakan ke kanan yang menyebabkan gegaran mendatar yang kuat dan berlarutan lebih lima minit.
“Ini adalah sebab impak di Bangkok, yang terletak kira-kira 800 kilometer dari Mandalay sangat besar, malah gegarannya masih boleh dirasai hingga ke Semenanjung Malaysia.
“Walaupun angka rasmi kematian dan kerosakan di Mandalay masih belum dilaporkan, kemusnahannya dijangka besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerak bumi sentiasa berada dalam keadaan dinamik dan terus bergerak dari semasa ke semasa.
Katanya, pergerakan tersebut terbukti melalui lebih satu juta kejadian gempa bumi kecil dengan magnitud kurang daripada dua yang berlaku setiap tahun.
“Gempa bumi ringan dengan magnitud kurang daripada empat biasanya tidak dirasai dan tidak membawa risiko kepada nyawa atau harta benda. Sebaliknya, gempa bumi besar dengan magnitud melebihi tujuh lazimnya hanya berlaku di sempadan pertembungan kepingan benua atau di kawasan kerak lautan yang menyusup ke bawah kerak benua.
“Kawasan berisiko tinggi yang paling hampir dengan Malaysia ialah di barat Sumatera, seperti dalam kejadian gempa dan tsunami di Aceh pada tahun 2004,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, gempa bumi berskala sederhana dengan magnitud kurang daripada enam masih berpotensi berlaku di Sabah, namun risikonya hanya terhad di sekitar puluhan kilometer dari pusat sebenar gempa.
“Di Malaysia, kecuali beberapa bahagian di Sabah, kita tidak perlu terlalu risau akan risiko bencana kerana gempa bumi yang benar-benar boleh membunuh atau memusnahkan harta benda mungkin tidak akan berlaku.
“Namun, kita perlu memberikan perhatian terhadap isu gegaran (keamatan) yang boleh merosakkan struktur dan mengganggu ketenteraman awam, khususnya bagi penghuni bangunan tinggi,” katanya. – UTUSAN










