ALOR SETAR: Para peniaga di beberapa kawasan di Kedah, Perak dan Negeri Sembilan masih menunggu pihak pembekal menghantar bekalan beras putih tempatan untuk dijual mulai esok kepada kira-kira 400,000 keluarga miskin di seluruh negara.
Menurut beberapa peniaga runcit, mereka juga belum menerima maklumat jelas mengenai bekalan itu terutamanya mekanisme jualan secara bersasar seperti diumumkan kerajaan.
Seorang peniaga, Fairuz Zakaria, 45, berkata, stok yang ada di kedainya setakat semalami hanyalah beras putih import yang berharga RM33 ke atas bagi sekampit 10 kilogram (kg) mengikut jenama.
“Kami hanya bergantung kepada maklumat daripada pembekal, tetapi sehingga kini masih belum ada maklumat tentang bila stok beras tempatan akan tiba.
“Sedangkan pelanggan sudah mula bertanya tetapi kami sendiri tidak mempunyai jawapan, kami juga sama seperti pelanggan iaitu hanya mampu menunggu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selasa lalu, kerajaan menetapkan harga beras putih tempatan (BPT) bersubsidi pada RM26 bagi sekampit 10kg dan hanya untuk keperluan keluarga miskin sahaja.
Pengumuman itu memberi kelegaan kepada kira-kira 400,000 keluarga miskin di seluruh negara dengan 24 juta kampit akan dijual melalui projek rintis mulai 1 Mac ini.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, projek rintis itu adalah untuk tempoh enam bulan dengan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) miskin termasuk 77,000 KIR miskin tegar boleh membeli dua kampit beras setiap orang.
Seorang lagi peniaga, Nordin Hassan, 56, berkata, beras tempatan yang diterimanya selama ini juga terhad selain kualiti yang rendah.
“Kami tempah beratus-ratus kampit daripada pembekal tetapi yang diterima kadang-kala kurang 10 kampit, memang sekejap sahaja habis sebab harganya yang murah berbanding beras import.
“Tetapi pelanggan pernah mengadu kualiti beras tidak seperti sebelum ini dan kami tidak ada jawapan tentang perkara itu kerana bekalannya sudah dipek dalam bungkusan tanpa boleh memeriksanya terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff ketika dihubungi turut mengesahkan pemantauan oleh pegawai-pegawai pemantau Cake juga mendapati bekalan beras putih tempatan belum berada di pasaran.
“Sehingga hari ini belum ada lagi di rak jualan kedai-kedai, sedangkan pihak berwajib menyatakan akan berada di pasaran bermula 1 Mac. Jadi pada esok Cake sekali lagi akan memantau keberadaan beras putih tempatan ini di pasaran.
“Kita juga tidak tahu bagaimanakah mekanisme kerajaan nak menghadkan pembelian ini kepada miskin atau miskin tegar. Bagaimanapun kita sangat berharap beras putih tempatan akan berada di pasaran seperti dijanjikan oleh kerajaan,” katanya.
Situasi sama dihadapi peniaga di Teluk Intan yang memberitahu belum menerima bekalan beras putih tempatan bersubsidi dan buat masa ini kedainya hanya menjual beras import.
“Setakat ini saya tidak menerima bekalan BPT yang diumumkan kerajaan walaupun dikatakan jualannya akan bermula esok.
“Saya memang tiada maklumat mengenai BPT yang dimaksudkan, namun jika benar BPT akan mula dijual kepada umum, ia berita yang sangat dinanti-nantikan kerana bekalan beras putih tempatan sudah lama tiada,” kata seorang peniaga.
Sementara itu, beras tempatan bersubsidi di Negeri Sembilan buat masa ini hanya akan dijual menerusi Program Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagaimanapun berkata, menerusi program itu ketika ini hanya mempunyai beras tempatan dengan kampit lima kilogram.
“Oleh itu orang ramai boleh membeli dua kampit beras lima kilogram dengan harga subsidi yang diumumkan.
“Sekarang Negeri Sembilan menerima stok beras tempatan sebanyak 48 tan setiap minggu bersamaan 2,400 kampit (beras lima kilogram),” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN










