GUA MUSANG: Lebih 200 pemandu yang mengendalikan 66 buah bas syarikat perkhidmatan bas ekspres, Konsortium E-Mutiara Berhad menjalani saringan ujian air kencing secara berkala bagi mengelak pengambilan dadah semasa bertugas.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, sekiranya ada pemandu dikesan terpengaruh bahan terlarang itu, mereka berdepan tindakan tegas termasuk dibuang kerja.
Katanya, setakat ini pihaknya berpuas hati apabila pemandu bas Konsortium E-Mutiara Berhad bebas daripada pengaruh dadah selepas dibuat ujian air kencing.
“Pemandu bas di laluan Pantai Timur termasuk Kelantan juga kita kesan tidak ada yang terlibat dengan kes dadah.
“Kita laksanakan saringan secara berkala kerana memandang serius perkara ini dan ingin memastikan pemandu diambil bekerja perlu bebas daripada dadah,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan
Zakat Hentian Gua Musang kepada 286 penerima di Masjid Ibrahim, Hentian Gua Musang yang turut dihadiri Pengarah Urusan GM Station Sdn. Bhd, Naemah Ya’akob, kelmarin.
Che Ibrahim berkata, menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, pihaknya berharap pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, langkah itu sebagai usaha mengelak kemalangan sekali gus memberi impak kepada nyawa penumpang.
“Mereka diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti tidak dibenarkan memotong di kawasan berkembar dan tidak memandu melebihi had laju ditetapkan.
“Pemandu bas perlu sentiasa berhemah di jalan raya kerana ketika suasana perayaan nanti kenderaan semakin bertambah. Jadi, pemandu hendaklah sentiasa berhemah demi keselamatan nyawa semua termasuk pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN










