PETALING JAYA: Balai Seni Negara akan mengadakan Pameran Projek Arkib: Chung Chen Sun dari 4 Mac hingga 1 September 2025.
Pameran berlangsung di Galeri Potret, bertujuan memperkenalkan serta menghidupkan semula legasi Chung Chen Sun sebagai pelukis dakwat Cina dan pendidik seni yang berpengaruh di Malaysia.
Balai Seni Negara (BSN) berkata, pelbagai bahan arkib seperti foto, lakaran, katalog, dan wawancara yang memberi gambaran mendalam mengenai hasil seni beliau akan dipamerkan.
“Pameran turut mengetengahkan lukisan minyak dan pastel yang jarang dipamerkan jadi, orang ramai yang berkunjung ke pameran itu dapat melihat sendiri evolusi gaya seni beliau sepanjang kariernya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut BSN, Chen Sun yang merupakan pengasas Malaysian Institute of Art (MIA), bukan sahaja memberi sumbangan besar dalam dunia seni lukis malah dalam pendidikan seni.
“Ini merupakan salah satu usaha Balai Seni Negara untuk memelihara, mendokumentasikan dan mempersembahkan warisan seni negara kepada pengunjung.
“Menariknya, pameran ini dibuat berdasarkan falsafah Konfusianisme sebagai kerangka utama, dengan tema pameran dipecahkan kepada enam segmen. Pendekatan ini mencerminkan pengaruh nilai moral Sanjio (Tiga Ajaran), yang merangkumi elemen Daoisme, Konfusianisme dan agama Buddha dalam karya Chen Sun,” katanya.
Enam segmen utama itu ialah Nasional ke Antarabangsa, Pertukaran Budaya dan Seni Antara Malaysia & China, Modernisasi Lukisan Dakwat: Gabungan Seni Timur dan Barat, Pendidikan Seni, Peribadi dan Keluarga serta Penderma Karya Seni.
“Projek Arkib: Chung Chen Sun bukan sekadar menelusuri perjalanan seni seorang tokoh tetapi turut menghubungkan seni, pendidikan dan budaya dalam ruang penuh makna,” tambahnya.
Orang ramai dijemput hadir dan masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut boleh layari www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara. – UTUSAN











