LIPIS: Kerajaan Pahang bersetuju menghulurkan sumbangan kepada petugas agama terdiri daripada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), penyelia KAFA, imam, bilal, siak serta guru takmir negeri ini yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.761 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan usaha semua pihak dalam memperkasakan syiar Islam di negeri ini.
“Ini tanda ingatan kerajaan negeri. Di mana, sebab penjawat awam (kerajaan negeri) pun dapat (bantuan Aidilfitri), dengan kedudukan yang agak baik jadi kita bagilah.
“Sebagai contohnya guru KAFA dapat RM300, penyelia KAFA dapat RM500. Kemudian bilal dan siak dapat RM200.
“Saya harap ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian KAFA (UPKK) Pahang 2024 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maidah Addiniah Padang Tengku di sini hari ini.
Difahamkan sebanyak RM300 seorang diberikan kepada 2,650 guru KAFA melibatkan peruntukan kewangan berjumlah RM795,000.
Selain itu, sebanyak RM500 diberikan kepada setiap 39 penyelia KAFA lantikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) dengan jumlah peruntukan RM19,500.
Kerajaan negeri turut menyalurkan sumbangan RM300 kepada setiap 1,187 imam dan 525 guru takmir manakala 1,087 bilal dan 1,081 siak menerima RM200 seorang.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Zaliza Zulkifli mengumumkan keputusan UPKK 2024 yang mana seramai 15,945 murid menduduki peperiksaan itu dengan kadar kelulusan 93.81 peratus, meningkat 2.815 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, seramai seramai 1,636 murid atau 10.37 peratus memperoleh 9A, manakala 1,453 lagi atau 9.21 peratus mendapat 8A. – UTUSAN