ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan memulakan pembinaan 15 blok baharu tersier, selain membaik pulih dan menaik taraf Empangan Pedu bagi meningkatkan hasil padi dan pendapatan petani.
Usaha itu untuk menyokong program penanaman padi lima kali dua tahun di Kawasan Muda bagi melonjakkan industri pertanian negara.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, secara keseluruhannya, 15 blok tersier itu merangkumi keluasan kawasan seluas 10,730 hektar melibatkan tanah diusahakan 6,127 pesawah.
Beliau berkata, usaha itu akan melancarkan penyaluran air ke sawah malah dan mengurangkan tempoh penyaliran air dari empangan ke bendang-bendang.
“Inilah antara langkah paling diperlukan bagi menyokong projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun. Apabila terlaksana nanti, sudah tentu hasil pengeluaran padi akan meningkat dan pendapatan petani juga bertambah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5.4 bilion bagi meningkatkan penghasilan padi negara dengan fokus kepada pembangunan infrastruktur bagi merealisasikan penanaman lima kali dua tahun.
Perdana Menteri berkata, sebanyak RM1 bilion akan disalurkan pada tahun ini bagi menjayakan projek yang membabitkan beberapa fasa, seperti yang diumumkan pada Belanjawan Madani tahun lalu.
Mengulas langkah menaik taraf dan membaik pulih Empangan Pedu, Ismail menjelaskan, struktur empangan yang mula dibina pada 1966 dan disiapkan tiga tahun kemudian itu masih lagi utuh.
Namun katanya, mekanisme serta komponen yang digunakan di empangan itu sudah terlalu usang hingga ada antaranya telah rosak sejak 2012 namun gagal dibaiki hingga sekarang.
“Terdapat injap yang sudah rosak sejak 2012 dan masih rosak hingga kini. Dalam tempoh dua atau tiga tahun lalu, kita sudah berusaha dua kali untuk membaikinya namun gagal.
“Maka usaha naik taraf dan baik pulih ini diharap akan menyelesaikan semua masalah yang timbul, sekali gus melancarkan penyaliran air. Kita akan mendapatkan kepakaran dari Belanda, kerana negara itu terkenal dengan aspek penyaliran dan pengairan,” katanya.
Tambahnya, projek itu dijalankan secara permohonan untuk cadangan (RFP) secara kerjasama awam swasta dengan dibiayai sepenuhnya terlebih dulu oleh pihak swasta, sebelum dibayar semula oleh kerajaan.
“Apabila projek ini siap dan usaha menanam padi lima musim dalam dua tahun dilaksanakan nanti, kita menyasarkan untuk mencapai pengeluaran 5.9 metrik tan per hektar secara purata bagi setiap musim. Itu sudah tentu mendatangkan manfaat besar kepada petani dan negara,” katanya. – UTUSAN










