PETALING JAYA: Kesedaran rakyat Malaysia masih rendah untuk mendapatkan saringan kanser kolorektal (iFOBT) apabila hanya 2.29 peratus mengambil ujian itu di klinik kesihatan meskipun ia ditawarkan secara percuma.
Menurut Pensyarah Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan (UKM), Dr. Nabil Mohammad Azmi, kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling kerap dikesan di Malaysia, menjadikannya antara penyakit paling membimbangkan di negara ini.
Beliau berkata, ramai pesakit mendapatkan rawatan apabila simptom yang dialami mereka sudah teruk, sedangkan komplikasi besar dapat dielakkan sekiranya mereka melalui ujian iFOBT pada peringkat awal.
Dr. Nabil yang juga seorang pakar bedah berkata, cabaran utama untuk mengatasi masalah kanser kolorektal adalah jurang akses untuk mendapatkan rawatan pakar.
“Faktor jarak, kekurangan kemudahan kesihatan, dan kos perjalanan menjadi kesukaran kepada pesakit kawasan luar bandar untuk mendapatkan ujian saringan tersebut.
“Senarai menunggu tawaran rawatan kolonoskopi daripada hospital kerajaan juga mengambil masa yang lama menyebabkan diagnosis itu lewat dijalankan selain daripada masalah ketidaksamaan akses teknologi rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Dr. Nabil berkata, pendapatan yang rendah dan pesakit tinggal di kawasan luar bandar menjadikan mereka sukar untuk mendapatkan rawatan berkualiti dalam masa yang cepat.
Kata beliau, masyarakat tidak boleh mengambil remeh kanser kolorektal yang merupakan kanser kedua paling kerap dikesan di Malaysia, menjadikannya antara penyakit paling membimbangkan di negara ini.
Dr. Nabil turut menyarankan langkah-langkah pencegahan awal antaranya advokasi kesihatan iaitu meningkatkan pembiayaan program saringan serta mempermudah akses ujian.
“Akses kepada saringan dan rawatan perlu dipermudah, termasuk menyediakan lebih banyak fasiliti kesihatan di luar bandar, menawarkan saringan bersubsidi, serta mengurangkan tempoh menunggu bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambah beliau, kempen berskala besar seperti Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal juga perlu dilaksanakan lebih giat bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap penyakit itu. – UTUSAN











