Kerjasama panjangkan jangka hayat Pasar Terapung

Kerjasama panjangkan jangka hayat Pasar Terapung

KERATAN akhbar muka depan Mingguan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kerjasama erat antara kerajaan tempatan, pihak swasta, institusi pendidikan dan penduduk setempat mampu menambah jangka hayat Pasar Terapung di sini, sekali gus kekal sebagai salah satu tarikan ekopelancongan yang popular di negara ini.

Pensyarah Jabatan Pelancongan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Raja Norliana Raja Omar berkata, kerjasama erat semua pihak itu bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Pasar Terapung Pulau Suri dan Sri Tanjong dalam peta pelancongan negara malah menjana pendapatan penduduk.

“Beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dengan usahasama pihak berkaitan dalam penambahbaikan infrastruktur seperti meningkatkan kemudahan pengangkutan dan akses ke lokasi berkenaan.

“Selain itu, promosi yang lebih agresif melalui platform digital diperlukan supaya pasar terapung ini terus dikenali sebagai destinasi pelancongan ikonik di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mingguan Malaysia melaporkan, Kepulauan Tumpat yang me­rupakan sebuah kawasan per­kampungan dikelilingi oleh Sungai Kelantan dan rata-rata dihuni oleh golongan nelayan bertukar wajah menjadi lokasi tumpuan pelancong untuk ke pasar terapung di Pulau Suri yang dibuka pada 2016, manakala Pasar Terapung Sri Tanjung pada 2022.

Raja Norliana berkata, gabungan penambahbaikan infrastruktur dan promosi itu berpotensi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke kawasan berkenaan.

“Walaupun pasar terapung di Hatyai lebih besar dan telah lama bertapak dalam industri pelancongan, Pulau Suri serta Sri Tanjong mempunyai keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan.

“Mengambil contoh pasar terapung di Dal Lake, Srinagar, India, pengusaha bot, peniaga di Pulau Suri dan Sri Tanjong boleh menonjolkan keunikan produk tempatan seperti batik serta variasi makanan tradisional Kelantan yang hampir dilupakan,” ujarnya.

Katanya,, untuk menambahkan lagi keunikan kawasan itu, setiap peniaga disaran memakai pakaian tradisional dan menawarkan produk kraftangan asli sebagaimana model pasar terapung Inle Lake di Myanmar.

Katanya, penekanan terhadap kebersihan dan kelestarian alam turut menjadi aspek penting dalam mengekalkan daya tarikan pasar terapung sebagai destinasi ekopelancongan.

“Kewujudan pasar terapung di Tumpat ini telah memberikan impak yang besar kepada ekonomi penduduk setempat di samping menonjolkan keunikan budaya masyarakat nelayan di kawasan tersebut.

“Ia telah membuka pelbagai peluang ekonomi kepada penduduk tempatan terutama dalam sektor perniagaan makanan tempatan, kraftangan dan perkhidmatan pelancongan seperti bot pelancong dan inap desa sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN