Kerajaan siasatSapura Energy

Kerajaan siasat Sapura Energy

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewa­ngan, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengambil tindakan sekiranya proses ketekunan wajar yang dilakukan mendapati wujud salah laku dalam Sapura Energy Berhad (SEB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memulakan langkah dengan menjalankan audit forensik bagi mengenal pasti permasalahan sebenar syarikat itu sebelum membuat keputusan.

Katanya, kerajaan melantik syarikat Ernst&Young untuk menjalankan audit forensik dalam memastikan ketelusan dalam proses ini dan setiap sen yang diberikan akan dipantau.

“Sekiranya terdapat sebarang salah laku atau penyalahgunaan kuasa, siasatan akan diteruskan tanpa kompromi.

“Kerajaan akan mengambil tindakan sekiranya proses ketekunan wajar (due diligence) yang dilakukan menemui salah laku dalam SEB.

“Saya sendiri tidak senang dengan cara kita menyelamatkan syarikat besar sedangkan puluhan ribu syarikat kecil se­ring terbiar tanpa pembelaan.

“Tetapi dalam kes ini, kita harus memahami bahawa sun­tikan dana ini bukan untuk menyelamatkan individu terten­tu, sebaliknya bagi memastikan vendor yang telah bekerja mendapat bayaran mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewa­ngan di sini, semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses audit sememangnya telah dijalankan dan ketekunan wajar tambahan itu dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 bilion.

Katanya, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan berbentuk dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat itu.

Katanya, suntikan dana ter­sebut akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu akan menguruskan de­ngan lebih baik dan membayar semula pinjaman itu apabila mendapat keuntungan.

“Apakah dana ini dana ha­ngus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik.

“Apabila (SEB) mendapat keuntungan, (mereka) membayar semula dana suntikan itu, pulangkan (semula) RM1.1 bilion. Jadi, ini bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dana RM1.1 bilion kepada SEB bukan satu bentuk ‘bailout’, sebaliknya ber­tujuan membantu vendor yang terkesan akibat masalah kewangan syarikat tersebut.

Menurut Anwar, sebanyak 80 peratus daripada dana ter­sebut akan digunakan untuk membayar lebih 2,000 vendor yang telah melaksanakan kerja mereka tetapi masih belum menerima bayaran.

“Jika syarikat ini ditutup, tiada syarikat tempatan lain yang mampu mengendalikan operasi dalam industri minyak dan gas negara. Ini bermakna semua kerja di sektor ini terpaksa diserahkan kepada syarikat asing,” jelasnya.

Tambah beliau, keputusan ini bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip menolak sebarang usaha menyelamatkan syarikat yang bermasalah tanpa kawalan ketat.

“Kita mahu memastikan industri minyak dan gas negara terus berkembang tanpa bergantung sepenuhnya kepada syarikat asing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN