TOKYO: Jepun berdepan kebakaran hutan terbesar sejak lebih 30 tahun, dengan api marak di beberapa lokasi menyebabkan seorang maut dan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan.
Menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana, kebakaran itu dianggarkan merebak ke kawasan seluas kira-kira 1,200 hektar di hutan Ofunato, wilayah utara Iwate, sejak ia bermula pada Rabu lalu.
“Kami masih menilai keluasan kawasan yang terjejas, tetapi ini adalah yang terbesar sejak kebakaran hutan pada 1992 di Kushiro, Hokkaido,” kata seorang jurucakap agensi itu kepada AFP.
Menurut agensi berkenaan, sekitar 1,700 anggota bomba dari seluruh negara dikerahkan untuk memadam kebakaran.
Polis tempatan menemukan mayat seorang individu yang terbakar pada Khamis.
Pihak berkuasa Ofunato berkata, lebih 1,000 penduduk berhampiran dipindahkan, manakala sekitar 80 bangunan dilaporkan rosak setakat kelmarin.
Sehingga kini, punca kebakaran masih belum diketahui.
Dua lagi kebakaran turut berlaku semalam, satu di Yamanashi dan lokasi lain di Iwate.
Pada 2023, Jepun mencatatkan sekitar 1,300 kebakaran hutan, kebanyakannya berlaku antara Februari hingga April ketika cuaca kering dan angin kencang.
Mengikut data kerajaan, jumlah kebakaran hutan menurun sejak kemuncaknya direkodkan pada 1970-an.- AFP










