JOHOR BAHRU: Seorang pemuda sanggup mengerah kudrat berulang-alik menolak bot getahnya sejauh satu kilometer meredah banjir bagi menyelamatkan lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tampoi Utama, di sini dalam kejadian baru-baru ini.
Mohd. Afiq Yuzaini, 30, berkata, dia yang dibantu bapa dan tiga jirannya berulang-alik lebih 30 kali bagi menyelamatkan mangsa yang terkandas di sekolah itu dan kawasan berhampiran.
Katanya, lebih mencabar apabila bot getahnya itu bocor dan perlu dipam secara manual dari semasa ke semasa dalam usaha menyelamatkan mangsa banjir dari pukul 11 pagi hingga 8.30 malam.
“Saya dapat tahu daripada jiran yang anak-anak mereka terperangkap di sekolah kira-kira pukul 10.30 pagi. Saya tidak fikir panjang dan terus pam bot getah dan bersama-sama jiran lain membantu untuk angkat sebab kawasan sini belum banjir lagi.
“Kami berulang-alik menolak bot itu satu kilometer lebih 30 kali dari pagi sampai malam selamatkan murid sekolah dan mangsa banjir lain. Ketika menuju sekolah, ada yang menjerit minta tolong, itu juga kami bantu.
“Memandangkan kawasan banjir tidak begitu dalam, enjin tak dapat digunakan. Apabila melalui tempat yang dalam sampai ke paras leher, kami akan berpaut pada bot dan berkayuh ke tempat yang selamat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tampoi Indah, di sini semalam. – UTUSAN











