LANGKAWI: Fenomena air surut membelah laut menarik hampir 3,500 orang pengunjung dalam dan luar negara di sini, pagi semalam.
Tinjauan di Pantai Tanjung Rhu mendapati, orang ramai mula berjalan kaki di atas beting pasir yang terbentuk berikutan air surut seawal pukul 5.30 pagi.
Fenomena tahunan di mana air surut mencecah paras 0 meter (m) tersebut menyebabkan beting pasir sepanjang kira-kira 600m yang menghubungkan pantai tersebut ke tiga pulau iaitu Pulau Chabang, Pulau Penyu dan Pulau Kelam Baya timbul.
Seorang pelancong dari Scotland, Iaian, 70, berkata, dia baru sahaja tiba di Langkawi tiga hari lalu dan dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pekerja hotel.
“Saya rasa bertuah kerana mendapat tahu fenomena ini hanya berlaku sekali setahun dan saya berada di sini untuk menyaksikannya.
“Saya juga dapat melihat perubahan warna pada kaki langit yang bermula daripada gelap dan warna oren sehinggalah menjadi cerah yang sangat mengasyikkan,” katanya.
Seorang lagi pelancong yang juga dari Scotland, Jacqui, 65, memberitahu, dia teruja melihat hidupan laut secara dekat.
“Saya keluar seawal pukul 6 pagi dan orang sudah mula berjalan di atas beting pasir walaupun keadaan masih gelap.
“Tetapi saya seronok dapat melihat hidupan laut seperti tapak sulaiman, ikan, udang dan ketam secara dekat di habitatnya sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pelajar universiti di Korea yang pulang ke Langkawi bagi cuti musim sejuk, Haikal, 22, berkata, walaupun dia berasal dari sini dia tetap akan datang untuk melihat fenomena tersebut.
“Saya sekarang sedang belajar di universiti di Korea dan fenomena ini tiada di sana, jadi setiap kali pulang ke Malaysia saya akan berjalan kaki di atas beting pasir ini.
“Bagi saya, ini salah satu cara untuk melepaskan kerinduan kepada tanah air dengan menikmati apa yang menarik yang ada di Langkawi,” katanya. – UTUSAN










