Cuaca panas, kering di utara Semenanjung

Cuaca panas, kering di utara Semenanjung

FAIZOL Alias menyusun buah tembikai di bawah panas terik matahari di gerai jualannya berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putera di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuaca panas dan kering diramal berlaku di kebanyakan tempat terutama di utara Semenanjung berikutan fasa akhir monsun timur laut yang dijangka berakhir pertengahan bulan ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, bagaimanapun cuaca panas ketika ini diramal tidak seteruk tahun lalu berikutan pengaruh La Nina lemah yang menyebabkan cuaca sedikit lembap.

Turut diramalkan, monsun barat daya yang membawa cuaca panas dan kering berlaku sekitar Mei hingga September.

“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), akan berlaku pengurangan hujan antara 20 peratus hingga 40 peratus berbanding keadaan biasa di utara, pantai barat dan timur Sabah pada Mac dan di barat Sarawak pada April.

“Negara dijangka menerima taburan hujan pada paras normal pada Julai dan Ogos,” katanya dalam kenyataan.

NRES dalam kenyataan yang sama turut memberi amaran jerebu masih boleh berlaku jika insiden pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, semua pihak diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.

Jika disabit kesalahan bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun juga boleh dikenakan tidak melebihi 50 peratus denda maksimum bagi setiap kesalahan.

Berdasarkan statistik Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Februari, terdapat 619 kes pembakaran sampah sarap direkodkan daripada keseluruhan 1,147 aduan pembakaran terbuka.

Sementara itu, di Baling, Kedah, peniaga buah-buahan yang terkesan cuaca panas ketika ini kerana buah-buahan cepat ‘lembik’.

Cuaca panas sehingga mencecah suhu 35 darjah Celsius juga berlarutan sehingga ke pukul 6 petang setiap hari.

Peniaga buah-buahan, Faizol Alias, 32, berkata, bahang panas menjadikan buah-buahan terutamanya mempelam dan pisang cepat lembik, layu dan tidak tahan lama.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana cuaca panas turut memberikan kelebihan kepada jualan air jus tembikai dan mempelam yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai yang singgah di gerainya.

Penduduk, Che Basah Ahmad, 65, yang tinggal di Taman Seri Baling berkata, dia tidak keluar rumah kerana bahang cahaya matahari lebih terik daripada biasa.

“Hanya keluar sebelah pagi sahaja jika ingin menyapu sampah atau menjemur pakaian. Bazar Ramadan pun pergi lewat petang,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN