GENEVA: Kanak-kanak bawah usia lima tahun, termasuk bayi antara yang menjadi mangsa keganasan seksual dalam perang saudara antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
Perkara itu didedahkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), memetik data kumpulan berpangkalan di Sudan yang membantu mangsa keganasan seksual.
“Data menunjukkan daripada 221 kes melibatkan kanak-kanak yang didaftarkan sejak tahun lepas, 16 di bawah umur lima tahun, termasuk empat kanak-kanak berusia satu tahun. Kira-kira satu pertiga daripada mangsa adalah lelaki,” katanya.
Pangkalan data termasuk kes dari seluruh negara, tetapi pekerja bantuan dan kumpulan hak asasi berpendapat ia hanya mewakili sebahagian kecil daripada kes sebenar berikutan stigma, ketakutan tindakan balas dan kekurangan akses kepada kemudahan perubatan yang menyekat mangsa daripada membuat laporan.
Beberapa mangsa terselamat yang dipetik UNICEF berkata, mereka hamil akibat serangan itu hingga diusir saudara mara dan berdepan kesukaran untuk meneruskan hidup.
“Selepas pukul 9 malam, akan ada seseorang membuka pintu, menarik seorang daripada gadis dan membawanya ke bilik lain. Saya dapat mendengar gadis kecil itu menangis dan menjerit.
“Mereka hanya melepaskan gadis-gadis itu pada waktu subuh, kembali dalam keadaan hampir tidak sedarkan diri,” lapor seorang mangsa wanita.
UNICEF tidak menyatakan siapa yang bertanggungjawab terhadap kes rogol melibatkan kanak-kanak itu, namun menyeru kedua-dua pihak untuk menghormati undang-undang antarabangsa.
“Kanak-kanak seawal usia yang dirogol oleh lelaki bersenjata mengejutkan sesiapa sahaja yang mendengarnya dan memaksa tindakan segera,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell dalam satu kenyataan yang dihantar kepada wartawan.
Perang meletus pada April 2023 daripada perebutan kuasa antara tentera dan RSF menjelang peralihan yang dirancang kepada pemerintahan awam, mencetuskan perpindahan besar dan krisis kelaparan.
Misi mencari fakta PBB menggambarkan tahap penderaan seksual mengejutkan itu majoritinya dipercayai didalangi RSF dan sekutunya, sambil menyatakan lebih sukar untuk melaporkan kes di wilayah yang dikawal tentera.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, lebih separuh daripada kes rogol yang dilaporkan di Sudan dilakukan secara berkumpulan, petunjuk bahawa keganasan seksual digunakan sebagai senjata perang yang disasarkan secara etnik oleh RSF dan anggota militan bersekutu..
RSF sebelum ini berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan tersebut dan membawa pelaku ke muka pengadilan.- AGENSI










