KUALA LANGAT: Bantuan sara hidup sebanyak RM500 sebulan diberikan kepada 31,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 60 tahun ke atas termasuk mereka yang tidak berpencen.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bantuan tersebut diberikan bagi membantu kehidupan mereka selain menyelesaikan masalah dan isu sosial dalam kalangan veteran.
Menurutnya, golongan berpencen yang dibawah paras kemiskinan turut dibantu dengan bantuan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
“Bagi veteran tak berpencen, memang kita ada skim baharu kepada 60 tahun ke atas yang mana mereka akan diberikan bantuan sara hidup RM500 sebulan.
“Jadi, secara tak langsung kita boleh menyebut semua veteran sekarang ini mempunyai pendapatan untuk mereka memulakan kehidupan seharian mereka sama ada berpencen atau tak berpencen,” katanya pada Program Peduli Veteran Madani (PVM) dan Majlis Iftar bersama Veteran ATM, semalam.
Jelasnya, PVM diadakan bagi mendekati veteran ATM secara bersemuka untuk mengenal pasti keperluan sebenar mereka selain mendapatkan mendapatkan maklum balas terhadap inisiatif yang telah dilaksanakan kementerian.
“Setakat ini, seramai 26 veteran iaitu masing-masing 15 dan 11 di Kuala Lumpur dan Selangor telah disantuni pihaknya.
“PVM peringkat Lembah Klang ini khusus diadakan bagi mendekati veteran ATM di kawasan bandar bagi mendalami cabaran kehidupan serta aspek kebajikan yang perlu diberi perhatian terutamanya kesihatan,” jelasnya. – UTUSAN