AS berdepan perang perdagangan tiga penjuru

AS berdepan perang perdagangan tiga penjuru

KONTENA penghantaran disusun tinggi di Pelabuhan Long Beach di California,AS.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Mexico, Kanada dan China bakal menjejaskan perdagangan tahunan bernilai hampir AS$2.2 trillion (RM9.79 trilion).

Ia juga berpotensi meningkatkan lagi harga barangan bagi rakyat AS yang sudah terkesan dengan inflasi tinggi sejak sekian lama.

Tarif sebanyak 25 peratus yang dikenakan oleh Presiden AS, Donald Trump ke atas import dari Mexico dan Kanada berserta duti tambahan sebanyak 20 peratus terhadap barangan China yang berkuat kuasa kelmarin, kini mula mencetuskan perang perdagangan baharu.

Trump mendakwa, tiga rakan dagang utama AS itu gagal mengambil langkah mencukupi untuk membendung kemasukan fentanyl dan bahan kimia berbahaya ke dalam negara.

Namun, Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick memberitahu Fox Business Network, Trump mungkin mencari jalan penyelesaian dengan Kanada dan Mexico, yang berkemungkinan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Saya fikir beliau akan cuba mencadangkan sesuatu yang baharu dengan mereka. Ia pastinya bukan penangguhan atau jeda, tiada perkara seperti itu.

“Tetapi saya rasa beliau akan mencari jalan tengah, seperti ‘kamu lakukan lebih, dan saya akan bertolak ansur sedikit,’ dan kita mungkin akan mengumumkannya segera,” katanya.

Lutnick turut berkata, Trump sedang mempertimbangkan untuk memberi sedikit kelonggaran kepada syarikat yang mematuhi peraturan di bawah Perjanjian Perdagangan AS-Mexico-Kanada (USMCA), dijadualkan untuk rundingan semula pada 2026.

Komen Lutnick membantu mengurangkan kejatuhan nilai dolar Kanada dan peso Mexico yang mengalami kerugian besar pada Selasa.

Namun, tindakan Trump mencetuskan kejatuhan pasaran saham global, dengan indeks utama AS berakhir lebih rendah manakala Indeks teknologi Nasdaq (IXIC) memasuki fasa pembetulan, dengan saham syarikat pembuat kenderaan, pembinaan rumah, peruncit dan firma lain yang sensitif terhadap tarif turut menerima impak negatif.

LANCAR TINDAK BALAS

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyifatkan tarif Trump sebagai ‘tindakan yang sangat bodoh’ dan mengenakan tarif balas 25 peratus ke atas import dari AS bernilai 30 bilion dolar Kanada (RM92.49 bilion).

Produk yang terjejas termasuk jus oren, mentega kacang, wain, minuman beralkohol, bir, kopi, peralatan elektrik dan motosikal.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan berjanji untuk membalas tetapi tanpa butiran spesifik, dan mendakwa akan mengumumkan langkahnya pada Ahad.

China bertindak balas dengan serta-merta, mengumumkan tarif tambahan sebanyak 10 hingga 15 peratus ke atas barangan tertentu dari AS bermula 10 Mac, serta sekatan eksport baharu ke atas entiti yang ditetapkan.

Beijing juga mengemukakan aduan mengenai tarif AS kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Trudeau memberi amaran Kanada akan mengenakan tarif tambahan ke atas barangan AS bernilai 125 billion dolar Kanada (RM385.65 bilion), jika tarif Trump masih berkuat kuasa dalam tempoh 21 hari.

Barangan yang berpotensi terjejas termasuk kenderaan bermotor, keluli, pesawat, daging lembu dan daging babi.

Malah, jelasnya, Kanada juga akan mencabar tarif AS di bawah peraturan WTO dan perjanjian perdagangan USMCA.

Trudeau, yang bakal digantikan oleh pemimpin dari Parti Liberal hujung minggu ini, menyatakan bahawa beliau percaya Trump sebenarnya mahu melemahkan ekonomi Kanada sehingga Ottawa terpaksa mempertimbangkan untuk menyertai AS.

Premier Ontario, Doug Ford bertindak membatalkan kontrak bernilai 100 juta dolar Kanada (RM308.63 juta) dengan rangkaian Starlink milik Elon Musk, melarang syarikat AS daripada mendapatkan kontrak kerajaan wilayah.

Beliau turut menegaskan, jika tarif Trump berterusan, Ontario akan mengenakan surcaj 25 peratus ke atas eksport elektrik ke Washington.

Trump mengancam untuk menaikkan tarif ke atas barangan Kanada lebih tinggi, merujuk kepada rancangan AS untuk mengenakan ‘tarif timbal balik’ ke atas rakan dagang global bermula 2 April ini.

“Harap jelaskan kepada Gabenor Trudeau dari Kanada, bahawa apabila beliau mengenakan tarif balasan ke atas AS, Tarif Timbal Balik kita akan serta-merta meningkat pada kadar yang sama!” tulis Trump dalam satu hantaran di platform media sosial peribadinya.

KENAIKAN HARGA

Tarif yang dikenakan sudah mula mencetuskan kenaikan harga di AS, bertentangan dengan janji pilihan raya Trump untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Target, Brian Cornell memberitahu CNBC, peruncit gergasi itu akan menaikkan harga dalam tempoh terdekat untuk beberapa produk makanan bermusim seperti avokado dari Mexico.

“Jika terdapat tarif 25 peratus, harga tersebut pasti akan meningkat sekurang-kurangnya dalam minggu hadapan,” kata Cornell.

Peruncit elektronik Best Buy juga memberi amaran mengenai kemungkinan kenaikan harga seiring dengan penguatkuasaan tarif.

Ketua Pegawai Eksekutif Best Buy, Corie Barry memberitahu penganalisis, China masih menjadi sumber utama produk yang dijual oleh syarikat itu, dengan Mexico di tempat kedua.

Tarif 20 peratus ke atas import China akan dikenakan pada beberapa kategori utama barangan elektronik yang sebelum ini tidak terjejas oleh cukai terdahulu, termasuk telefon pintar, komputer riba, konsol permainan video, jam tangan pintar, pembesar suara dan peranti Bluetooth.

Barry berkata, kenaikan harga mungkin akan berlaku secara beransur-ansur kerana Best Buy biasanya menyimpan stok yang mencukupi untuk enam minggu.

“Kami menganggarkan tarif ini boleh menyebabkan peningkatan hampir AS$1,000 (RM4,453) setiap isi rumah setahun dalam kos barangan. Pengukuhan nilai dolar perlu bagi membantu mengurangkan sebahagian kesan inflasi, yang dikhuatiri akan menjadi lebih besar,” kata Ketua Ahli Ekonomi Nationwide Mutual, Kathy Bostjancic.

Sebelum pengumuman tarif Trump, data AS pada hari Isnin menunjukkan harga di peringkat kilang meningkat ke paras tertinggi dalam hampir tiga tahun, memberi amaran gelombang tarif baharu mungkin akan menjejaskan pengeluaran.

Model GDPNow Bank Rizab Persekutuan Atlanta menunjukkan perubahan drastik kepada penguncupan 2.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS pada suku pertama, berbanding anggaran pertumbuhan 2.3 peratus minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×