Ammaara Ebrahim‘ubah wajah’Masjid Al-Qadim di Langkawi

Ammaara Ebrahim‘ubah wajah’ Masjid Al-Qadim di Langkawi

MASJID Al-Qadim yang terletak di Kampung Kuah menerima sumbangan daripada sebuah keluarga dari United Kingdom yang kehilangan anak mereka ketika bercuti di Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Ramadan yang tiba membuka lembaran baharu kepada Masjid Al-Qadim, di sini apabila menerima sumbangan lebih RM200,000 daripada sebuah keluarga dari United Kingdom sejak tahun lalu.

Pemberian itu selepas kelu­arga tersebut kehilangan anak sulung mereka, Ammaara Ebrahim Kola yang terlibat dalam kemalangan maut semasa sedang berbulan madu dengan suami­nya di Langkawi.

Keluarga itu tidak membawa pulang jenazah Ammaara sebaliknya membuat keputusan untuk menyemadikan jasad arwah di tanah perkuburan masjid tersebut yang terletak di Kampung Kuah.

Adik kepada Ammaara, Sha­aista yang berkunjung ke masjid itu bersama ibu bapanya berkata, kakaknya meninggal dunia pada 26 Ogos tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan de­ngan suaminya.

“Walaupun suaminya terselamat, namun kakak saya cede­ra parah dan menghembuskan nafas terakhir di sini. Sehingga hari ini, kami masih tidak tahu butiran jelas kemalangan itu kerana tiada saksi tampil memberi keterangan, jadi kami harap sesiapa yang tahu kejadian di Jalan Ulu Melaka itu menghubu­ngi pihak polis.

“Kami juga berasa sedih melihat keadaan masjid berdekatan pusara Ammaara yang agak u­sang dan memberikan bantuan supaya mereka dapat mengindahkan lagi masjid ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al-Qadim, Shukri Abd. Hamid berkata, masjid yang dipanggil masjid lama oleh penduduk tempatan sebelum ini tidak mempunyai kubah dan hanya kelihatan seperti bangunan biasa.

“Apabila keluarga Ammaara melihat keadaan daif masjid ini, mereka mula memberikan sumbangan secara berperingkat dan kami berjaya membaiki ba­nyak bahagian serta menambah kubah atas permintaan mereka.

“Antara pembaharuan yang dilakukan adalah menukar si­ling yang sudah roboh, membina semula pagar dan mengecat ke­seluruhan masjid ini,” katanya.

Hasil pembaharuan itu, Shu­kri berkata, masjid berkenaan mula menerima jemaah luar termasuk pelancong asing yang semakin menyedari kewujudan masjid tersebut di situ selain ahli kariah yang semakin aktif termasuk banyak program dilaksanakan kerana jumlah sumbangan orang ramai semakin meningkat.

“Kami juga sediakan ruangan laman dengan menempatkan pondok gazebo serta buaian yang biasanya dipenuhi anak-anak muda pada waktu malam, pihak Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) turut menyumbang pokok hiasan.

“Walaupun laman yang diberi nama Ammaara’s Garden sempena arwah ini terletak betul-betul bersebelahan kubur, namun anak-anak muda tidak lagi berasa takut kerana keada­an serba baharu hasil sumba­ngan keluarga beliau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN