Ahli politik ‘toksik’ pecah belahkan perpaduan

Ahli politik ‘toksik’ pecah belahkan perpaduan

AARON AGO DAGANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli politik ‘toksik’ yang memainkan sentimen bangsa dan agama demi kepentingan parti politik mereka didakwa punca kepada perpecahan dan ketidakharmonian antara kaum di negara ini.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ahli politik ‘toksik’ sebegini suka membawa isu-isu sensitif hanya untuk meraih laba politik dan menjadikan sasaran rakyat yang gemar mengikut apa sahaja secara membuta tuli tanpa memahami akibat daripada perbuatannya itu.

“Saya pernah tegaskan di Parlimen bahawa kita sendiri sebagai ahli politik adalah punca utama kepada perpecahan dan ketidakharmonian. Lihat sahaja keadaan di Dewan Rakyat, cara ahli politik berbahas, penuh dengan unsur toksik.

“Mereka membangkitkan isu-isu sensitif semata-mata untuk keuntungan politik tanpa memikirkan kesannya. Lebih membimbangkan, isu ini ditujukan kepada masyarakat yang kurang berpendidikan dan mudah terpengaruh tanpa memahami implikasi sebenar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini semalam.

Aaron berkata, sikap segelintir masyarakat yang menerima bulat-bulat segala sentimen perkauman tanpa menilai kesannya menjadi satu masalah besar kepada perpaduan negara.

Sehubungan itu, kementeriannya telah melaksanakan pelbagai pendekatan untuk memperkukuh perpaduan nasional, termasuk menubuhkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) serta menganjurkan dialog dan persidangan antara agama.

“Kita adakan program Jejak Harmoni, Podcast Harmoni, Dokumentari Harmoni, Dialog dan Wacana Harmoni melibatkan pelbagai agama dan inisiatif lain bagi meningkatkan kefahaman antara kaum dan agama.

“Selain itu, kita juga memperkukuh peranan Kawasan Rukun Tetangga, Tabika Perpaduan, Kelab Rukun Negara, Sekretariat Rukun Negara, Mediator Komuniti, serta terus menerapkan nilai prinsip integrasi nasional Faham, Hormat & Terima dalam masyarakat.

“Semua usaha ini selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan nilai ketamadunan. Jika kita tidak bertamadun, kita tidak akan menghormati orang lain, seolah-olah hidup di dalam hutan,” tegasnya.

Dalam hal ini, beliau mengingatkan semua ahli politik agar tidak terus memainkan sentimen perkauman demi kepentingan peribadi.

“Kita sudah banyak kali memberi peringatan, tetapi mereka tidak peduli kerana ini adalah permainan politik. Mungkin satu-satunya cara untuk mengatasinya adalah dengan mengubah sistem politik kita.

“Sebab itu, di bawah Kementerian Perpaduan, fokus utama kita adalah membina negara bangsa progresif. Kita mahu rakyat memahami bahawa Malaysia bukan hanya tentang Melayu, Cina, Iban, Kadazan atau India. Kita semua adalah satu–Bangsa Malaysia,” katanya.

Menurutnya, meskipun usaha ini bukan sesuatu yang mudah, kementeriannya tetap komited untuk mencapai matlamat tersebut.

“Kami telah melaksanakan ratusan ribu program, dan persoalannya kini, apakah hasil akhirnya? Hasilnya adalah sebuah negara bangsa yang bersatu tanpa melihat kaum dan agama sebagai pemisah.

“Kita juga telah membangunkan pelbagai indeks seperti Indeks Perpaduan Nasional, Indeks Kebahagiaan dan Indeks Keamanan sebagai penanda aras. Jika semua indeks ini menunjukkan tahap tinggi, maka kita sudah mencapai negara bangsa yang kita impikan.

“Namun, realitinya, politik masih tidak stabil dan ada pihak yang cuba mengganggu usaha ini demi kepentingan mereka sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN