BRAZZAVILLE: Lebih 500 pesakit Mpox melarikan diri dari klinik di timur Republik Demokratik Congo sepanjang bulan lalu, di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku.
Pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika bimbang pesakit tersebut berisiko menyebarkan wabak itu, yang disyaki disyaki menyebabkan kematian kira-kira 900 orang di Congo tahun lalu.
Sejumlah besar pesakit Mpox melarikan diri dari klinik di Goma dan Bukavu, dua bandar yang mengalami kekacauan setelah dikuasai pemberontak M23 disokong Rwanda dalam beberapa minggu lalu.
Ketua pegawai perubatan di Goma, Dr. Samuel Muhindo berkata, 128 pesakit melarikan diri dari pusat kesihatan Mugunga di bandar itu selepas pertempuran pada akhir Januari lalu.
Beliau berkata, pekerja kesihatan tidak dapat mengesan mereka kerana dokumen di klinik dimusnahkan.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila M23 memutuskan untuk menutup rangkaian kem di Goma, tempat puluhan ribu orang berlindung daripada pertempuran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami kini bimbang akan berlakunya penularan wabak di kawasan orang ramai dipindahkan,” kata Muhindo.
Kebimbangan turut disuarakan oleh CDC Afrika yang menggesa gencatan senjata dan usaha mewujudkan koridor kemanusiaan bagi memudahkan usaha mengawal penularan Mpox.
Menurut CDC Afrika, sejak awal tahun hampir 2,890 kes Mpox dan 180 kematian dilaporkan di negara itu, yang menjadi pusat beberapa wabak baru-baru ini.
Keupayaan negara itu menangani penyakit Mpox terjejas akibat konflik antara M23 dan tentera Congo, termasuk isu kekurangan dana.– BBC










