SEOUL: Sekitar 30 peratus sekolah rendah di Korea Selatan menggunakan buku teks digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam tahun pertama pelaksanaannya, menurut data kerajaan yang didedahkan hari ini.
Penggunaan buku teks AI lebih meluas di peringkat sekolah rendah berbanding sekolah menengah dan tinggi, dengan subjek Bahasa Inggeris serta Matematik menjadi pilihan utama.
Menurut data Kementerian Pendidikan, daripada 6,339 sekolah rendah seluruh negara, sebanyak 1,843 sekolah mengguna pakai buku teks AI untuk bahasa Inggeris tahun tiga, manakala 1,813 sekolah menggunakannya untuk subjek matematik tahun tiga.
Bagi bahasa Inggeris dan matematik tahun empat, kadar pemilihan masing-masing adalah 29.6 peratus serta 29.2 peratus.
Buku teks AI, yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan awam buat kali pertama bagi tahun akademik 2025 yang bermula Mac, tersedia untuk subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Informatik Komputer – merangkumi pendidikan IT dan komputer.
Buku teks itu digunakan untuk tahun tiga dan empat sekolah rendah, tahun pertama sekolah menengah serta tahun pertama sekolah tinggi, dengan penggunaannya bersifat pilihan.
Ia sebahagian daripada rancangan untuk memperkenalkan buku teks AI secara berperingkat dalam kebanyakan subjek wajib menjelang 2028, kecuali pendidikan seni, jasmani dan etika.
Di peringkat sekolah menengah, 26.9 peratus mengguna pakai buku teks AI untuk Bahasa Inggeris tahun pertama, manakala 26.1 peratus menggunakannya untuk Matematik tahun pertama.
Bagi sekolah tinggi, 24.4 peratus menggunakan buku teks AI untuk Bahasa Inggeris tahun pertama, sementara 23.8 peratus memilihnya untuk Matematik, menurut data Kementerian Pendidikan.
Daripada 11,932 sekolah di seluruh negara, sebanyak 3,870 sekolah (32.4 peratus) memilih untuk menggunakan buku teks AI sekurang-kurangnya satu daripada tiga subjek yang ditawarkan.– ASIA NEWS NETWORK










