PUTRAJAYA: Insiden pendaratan cemas beberapa pesawat milik syarikat penerbangan tempatan akibat masalah teknikal termasuk kebakaran pada enjin sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan awam.
Yang terbaharu dalam kejadian semalam, 171 penumpang dan anak kapal penerbangan AirAsia berhadapan detik cemas apabila pesawat jenis Airbus A320-216 yang mereka naiki terpaksa berpatah balik.
Pesawat itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen diarah berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) setelah dipercayai mengalami kebakaran enjin
Sebelum ini, pada kejadian 14 Mac lalu, pesawat MH705 dari Manila ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino selepas salah satu enjinnya terbakar akibat pelanggaran dengan burung.
Pada 18 Mac pula, pesawat MH720 dari Jakarta ke Kuala Lumpur melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan isyarat kebakaran dikesan ketika dalam penerbangan.
Dalam kejadian semalam, pesawat AirAsia itu terpaksa berpatah balik ekoran masalah yang berlaku pada enjin Airbus A320-216 itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pesawat yang membawa 171 penumpang dan anak kapal mengalami kebakaran pada bahagian enjin kanan akibat kerosakan Pneumatic Ducting Burst.
“Api berjaya dipadamkan oleh sistem Halon pesawat sebelum mendarat.
“Selain itu, Pasukan Airport Fire and Rescue Service (AFRS) KLIA turut memberikan bantuan dengan tiga anggota serta sebuah jentera FRT bagi memastikan keselamatan pesawat serta kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, pihak AirAsia dalam satu kenyataan menafikan bahawa pesawat miliknya itu mengalami kebakaran pada enjin.
Sebaliknya, Timbalan Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Chester Voo berkata, pesawat tersebut berpatah balik dan mendarat cemas di KLIA 2 akibat masalah kerosakan saluran udara atau ‘duct’ di salah satu enjinnya menyebabkan pelepasan udara panas.
“AirAsia mengesahkan tidak berlaku kebakaran enjin. Pesawat itu dijangka beroperasi semula Isnin ini.
“Juruterbang dan kru kabin kami terlatih untuk menangani situasi sebegini, dan pesawat berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden lanjut selepas prosedur yang sewajarnya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan semalam.
AirAsia turut mengesahkan semua 171 penumpang selamat keluar dari pesawat dan dipindahkan ke penerbangan lain yang berlepas pada 3.46 pagi.
Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bao’an, Shenzhen, pada pujul 7.51 pagi. – UTUSAN










