PETALING JAYA: Rapid KL memaklumkan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, pagi ini sedang mengalami kelewatan susulan gangguan pada sistem isyarat tren.
Rapid KL berkata, perkhidmatan tren LRT beroperasi secara manual dari Stesen USJ 21 ke Stesen Taipan dan pergerakan tren dijangka lebih perlahan dan berhenti di platform lebih lama.
“Pasukan teknikal kini sedang menjalankan kerja-kerja pemulihan bagi memastikan perkhidmatan kembali normal.
“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen telah ditempatkan di stesen-stesen yang terjejas untuk memberikan bantuan dan panduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.-UTUSAN










