25 pekerja dikhuatiri tertimbus runtuhan salji di India

25 pekerja dikhuatiri tertimbus runtuhan salji di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UTTARAKHAND: Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan hilang selepas terperangkap dalam runtuhan salji di Uttarakhand berhampiran sempadan Himalaya-Tibet, India semalam.

Pegawai Daerah Chamoli, Sandeep Tiwari berkata, sekurang-kurangnya 32 pekerja diselamatkan dan tiada mangsa terkorban turut dilaporkan.

Ketua Polis negeri, Deepam Seth pula memaklumkan, angin kencang dan salji lebat menghalang operasi menyelamat.

“Salji turun bersama angin kuat menyebabkan laluan terhalang sepenuhnya dan kami mengerahkan penyelamat untuk membuka jalan,” katanya kepada stesen penyiaran NDTV.

Menurut kenyataan Tentera India, runtuhan berlaku di tapak kerja Organisasi Jalan Raya Sempadan Persekutuan (BRO), di mana lapan kontena dan sebuah gudang tertimbus runtuhan salji.

“Lima daripada kontena tersebut ditemukan dan pencarian tiga lagi sedang dijalankan,” kata kenyataan tersebut.

Ridhim Agarwal dari pasukan bantuan bencana negeri berkata, pasukan penyelamat dari kawasan tinggi akan dihantar menggunakan helikopter ke lokasi kejadian apabila cuaca beransur baik.

Jabatan Cuaca India meramalkan salji lebat, setebal sekurang-kurangnya 12 sentimeter (cm), melanda negeri tersebut sehingga Jumaat.

Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami menzahirkan dukacita dengan insiden tersebut dan memantau operasi penyelamatan.

Kem tersebut berada dalam amaran runtuhan salji sejak petang Khamis, menurut laporan media India.

Runtuhan salji dan tanah runtuh adalah kejadian biasa di kawasan tinggi Himalaya.

Saintis menunjukkan perubahan iklim menyebabkan cuaca menjadi lebih ekstrem, malah didorong oleh lautan lebih panas selain kesan pembangunan pesat dan pembalakan di Himalaya.

Pada 2021, hampir 100 orang terbunuh di Uttarakhand apabila glasier jatuh ke dalam sungai menyebabkan banjir kilat.

Banjir monsun dan tanah runtuh yang dahsyat pada 2013 turut meragut 6,000 nyawa hingga terdapat desakan untuk menilai semula projek pembangunan di negeri tersebut.

Runtuhan salji itu berlaku ketika usaha penyelamatan serupa diteruskan pada hari ketujuh di bandar Nagarkurnool, selatan India, di mana beberapa pekerja terperangkap dalam terowong runtuh.– AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN