SYDNEY: 20,000 hartanah di Brisbane berisiko ditenggelami banjir dan dilanda ribut ketika Taufan Tropika Alfred terus bergerak menghampiri pantai tenggara Queensland.
Peta ramalan yang dikemas kini pada Rabu menunjukan Alfred mengekalkan intensiti, kelajuan dan kemungkinan laluan ke daratan.
Taufan itu masih berada di landasan untuk sampai di kawasan pantai sekitar pukul 1 pagi Jumaat, di antara Sunshine Coast dan Brisbane sebagai ribut kategori dua.
Model ramalan juga menunjukkan Alfred berpotensi menyeberangi sebelah selatan Brisbane.
Air pasang besar yang dijangka berlaku pada awal pagi Jumaat menjadi kebimbangan utama bagi penduduk di kawasan persisiran pantai.
Kelmarin, Datuk Bandar Brisbane, Adrian Schrinner memaklumkan kemas kini model baharu menunjukkan 20,000 hartanah di seluruh Brisbane berisiko terjejas akibat ribut dan banjir.
Brisbane – sebuah bandar dengan 2.5 juta penduduk – pernah mengalami banjir besar sebanyak tiga kali dalam tempoh 15 tahun.
Schrinner berkata, kawasan yang paling berisiko termasuk penduduk di Pantai Nudgee dan Brighton, serta kawasan rendah berhampiran sungai seperti Windsor, Ashgrove, Morningside dan Rocklea.
Biro Meteorologi memberi amaran angin kencang, ancaman yang jarang berlaku di Brisbane, boleh bermula pada Rabu, dan tiupan angin dijangka mampu mencecah 155 kilometer sejam (km/j) pada petang Khamis.
Beberapa perkhidmatan mula ditutup dalam tempoh 48 jam sebelum Taufan Alfred dijangka melanda, namun pasar raya, sekolah dan perkhidmatan penting lain masih beroperasi seperti biasa.
Penduduk mula beratur panjang untuk mendapatkan beg pasir sebagai persediaan menghadapi fenomena luar biasa itu.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dilaporkan menyertai pihak berkuasa Queensland dalam mesyuarat perancangan bencana, semalam.
Ribut itu berpatah balik ke arah pantai seperti diramalkan pada Selasa, selepas bergerak perlahan ke selatan dari Laut Coral selama kira-kira dua minggu.– THE GUARDIAN










