15 cedera, bom terjatuh di kawasan awam Korea Selatan

15 cedera, bom terjatuh di kawasan awam Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POCHEON: Sekurang-kurangnya 15 orang cedera di Korea Selatan selepas bom yang dijatuhkan oleh jet pejuang mendarat di kawasan awam, merosakkan rumah dan sebuah gereja semasa latihan ketenteraan di Pocheon, hari ini.

Perkhidmatan Bomba Bukbu Gyeonggi-do dalam kenyataan memaklumkan, 15 orang mengalami kecederaan, dengan dua daripadanya dilaporkan serius.

Pocheon terletak kira-kira 40 kilometer (km) timur laut Seoul, berhampiran sempadan yang dikawal ketat dengan Korea Utara.

Tentera Udara Korea Selatan memaklumkan, lapan bom MK82 seberat 225 kilogram (kg) daripada jet KF-16 jatuh di luar kawasan sasaran semasa latihan tembakan langsung bersama.

“Kami memohon maaf atas kerosakan yang disebabkan oleh kemalangan yang tidak normal dan mendoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh,” kata Tentera Udara dalam satu kenyataan.

Penduduk di kawasan itu sekian lama membantah gangguan dan potensi bahaya daripada tapak latihan berdekatan.

Agensi berita Yonhap melaporkan, penduduk dipindahkan sekitar tengah hari ketika pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bom yang belum meletup.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memaklumkan pasukannya dan Amerika Syarikat (AS) sedang mengadakan latihan bersama pertama di Pocheon, berkaitan dengan latihan ketenteraan tahunan yang akan bermula minggu depan.

Ketua Turus Bersama (JSC) Korea Selatan mengesahkan latihan tahunan Freedom Shield akan bermula pada Isnin dan berlangsung sehingga 20 Mac.

JSC berkata, latihan bersama itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan pakatan terhadap ancaman seperti Korea Utara.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN