IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menjangkakan pengunjung Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah di sini mencecah sehingga lebih 120,000 orang sepanjang bulan Ramadan.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pihaknya berpuas hati dengan jumlah kehadiran pengunjung setakat minggu pertama berpuasa yang boleh memberi manfaat kepada para peniaga.
Beliau bangga apabila lokasi tersebut disebut sebagai bazar Ramadan terpanjang di negeri Perak.
“Sangat meriah. Pada hari pertama berpuasa lagi kami agak terkejut kerana mendapat kunjungan seramai 3,000 orang,” katanya selepas mengadakan tinjuan ke bazar tersebut dan mengedarkan apron kepada peniaga semalam.
Sebanyak 122 peniaga membuka gerai di bulatan tersebut yang menjual pelbagai aneka makanan dan minuman termasuk bintang Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Nor yang berniaga menjual air balang di bazar Ramadan tersebut.
Bulatan tersebut kini menjadi trend orang ramai yang membeli makanan di bazar dan seterusnya berbuka puasa secara berkelah dengan memenuhi kawasan lapang dan riadah yang disediakan.
Redza Rafiq berkata, memang hasrat PKNPk apabila membuat aktiviti ekonomi ia mampu menjana pendapatan dan peluang perniagaan, lebih-lebih lagi banyak kemudahan yang disediakan kepada pengunjung Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah.
“Itu memang mandat yang diberikan kepada kami. Ia tentang mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya sambil menambah aktiviti solat terawih mega bakal diadakan pada minggu ketiga Ramadan sebagai aktiviti di bulatan itu. – UTUSAN










