KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga meneruskan rutin tahunannya berkongsi rezeki dengan mengagihkan 1,000 kampit beras secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah.
Pemilik Gemilang Speed Mart, Siti Fatimah Mohamed Farook berkata, beras seberat lima kilogram itu diharap dapat membantu meringankan beban golongan tersebut sepanjang Ramadan ini.
“Alhamdulillah, hasil perniagaan selama ini saya kumpulkan bersama infaq dari enam adik beradik untuk mengagihkan 1,000 kampit beras.
“Rasa puas apabila dapat melihat senyuman pengunjung yang gembira menerima sumbangan kecil kami ini dan berharap agar perniagaan terus diberkati,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Sementara itu, tinjauan mendapati, orang ramai mula beratur sejak pukul 1.30 petang di luar premis perniagaan tersebut untuk mendapatkan beras yang diagihkan sendiri oleh Siti Fatimah dan adik beradiknya.
Semua beras tersebut selesai diagihkan dalam tempoh satu jam 30 minit.
Beberapa penerima yang ditemui menyifatkan agihan tersebut sangat membantu mengurangkan beban memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini.
Ibu tunggal, Siti Idayu Ahmad Abidin, 47, berkata, dia mendapat tahu agihan beras percuma itu daripada beberapa jiran melalui kumpulan aplikasi WhatsApp dan gembira dengan keikhlasan peniaga tersebut berkongsi rezeki. – UTUSAN











