WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) menuduh Afrika Selatan terlibat dalam merampas tanah dan melayan kelas tertentu dengan sangat teruk.
Susulan itu, beliau mengumumkan keputusan untuk menghentikan semua pembiayaan masa depan kepada negara itu sehingga siasatan penuh dijalankan.
Isu tanah di Afrika Selatan adalah topik yang mencetuskan perpecahan, dengan usaha membetulkan ketidaksamaan era pemerintahan kulit putih dikritik oleh golongan konservatif, termasuk Elon Musk, penasihat berpengaruh Trump yang lahir di negara itu.
“Afrika Selatan sedang merampas tanah dan melayan kelas-kelas tertentu dengan sangat teruk.
“Saya akan memotong semua pembiayaan masa depan kepada Afrika Selatan sehingga siasatan penuh mengenai situasi ini selesai,” kata Trump di platform Truth Social.
Bulan lalu, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa menandatangani rang undang-undang yang menetapkan kerajaan boleh, dalam keadaan tertentu, menawarkan ‘pampasan sifar’ untuk hartanah yang diputuskan diambil alih demi kepentingan awam.
Pretoria menegaskan, rang undang-undang itu tidak membenarkan kerajaan merampas harta secara sewenang-wenangnya dan mesti berunding terlebih dahulu dengan pemilik.
Namun, sesetengah pihak bimbang keadaan sama berlaku seperti rampasan ladang komersial milik orang kulit putih oleh kerajaan Zimbabwe selepas kemerdekaan pada 1980, yang sering dilakukan tanpa pampasan.
Pemilikan tanah kekal sebagai isu sensitif di Afrika Selatan, di mana sebahagian besar tanah pertanian masih dimiliki oleh orang kulit putih tiga dekad selepas berakhirnya aparteid.- AFP










