PETALING JAYA: Caj di hospital swasta perlu diselaraskan pada kadar standard sama ada menggunakan surat jaminan (GL) atau bayar dahulu dan tuntut (pay and claim) kemudian.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pelaksanaan tersebut lebih telus dan tidak membebankan mana-mana pihak termasuk pesakit mahupun pemegang polisi insurans pada masa akan datang.
Katanya, langkah berkenaan juga secara tidak langsung dapat memastikan proses pembayaran dan tuntutan berjalan lancar dan jelas.
“Penetapan caj untuk kedua-dua kaedah perlu sama dengan kadar yang munasabah dan sesuai.
“Apa yang penting garis panduan perlu diwujudkan berhubung isu caj ini dan perlu dipatuhi.
“Namun ada hospital yang mengenakan caj lain termasuk peralatan dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, berdasarkan kajian ke atas bil tuntutan hospital swasta kepada syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO), terdapat kes tertentu yang menunjukkan jumlah kos rawatan lebih tinggi bagi pesakit yang menggunakan surat jaminan berbanding mereka yang membayar dahulu sebelum membuat tuntutan.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, undang-undang berkaitan caj di hospital swasta tidak menyeluruh termasuk kaedah pembayaran.
“Undang-undang untuk bayaran caj konsultasi ada tetapi perkara berkaitan kemudahan lain yang berkaitan seperti makan minum atau wad belum wujud.
“Namun, ada hospital swasta yang mengenakan caj lebih rendah sekiranya bayar sendiri berbanding bayaran menerusi insurans. Ini kerana, caj dinaikkan kerana bayaran dibuat oleh syarikat insurans,” jelasnya. – UTUSAN










