GEORGE TOWN: “Saya tengok dia, saya sedih. Tetapi, saya nampak dia tenang. Saya pun tidak tengok dia lama-lama sebab terbayang-bayang keadaannya.”
Itu kata Hambiah Kassim, 75, nenek Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, semasa melawat kanak-kanak itu pada hari pertama mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), kelmarin.
Mohammad Fahmi Hafiz sebelum ini mengalami sesak nafas gara-gara tercekik selepas memakan gula-gula ‘gummy’, Selasa lalu sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kira-kira pukul 11 malam kelmarin.
Hambiah berkata, dia masih ingat kenangan terakhir bersama arwah iaitu ketika kanak-kanak datang dan tinggal di rumahnya di Alor Setar kira-kira dua minggu semasa cuti sekolah.
“Nampak macam dia lebih seronok. Tapi, pada masa yang sama, macam nampak sedih juga Dia lebih banyak diam pada masa itu.
“Saya ada 11 orang cucu. Arwah pun selalu balik (kampung) dan setiap kali cuti sekolah memang balik sini (Alor Setar). Dia memang bukan jenis banyak cakap, tapi, kalau dengan saya, dia mesra dan manja,” katanya ketika ditemui di pekarangan HPP, semalam.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Mohammad Fahmi Hafiz selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Binjai, Penaga dekat sini kira-kira pukul 3.20 petang.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Jamek Permatang Binjai untuk disembahyangkan selepas solat Jumaat.
Jenazah sebelum itu dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HPP kira-kira pukul 12.51 tengah hari tadi selepas selesai bedah siasat.
Dalam pada itu, bapa kanak-kanak itu, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri,35, berkata, keluarganya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menjual makanan ringan tersebut ketika ini.
Sebaliknya mereka berharap agar kejadian seperti itu tidak menimpa kanak-kanak lain.
“Kami juga tidak salahkan sesiapa kerana takdir sudah tertulis buat kami sekeluarga, ikutkan hati kami tidak mahu membuat laporan polis pun,” katanya.-UTUSAN.