RIYADH: Amerika Syarikat (AS) dan Russia akan melantik pasukan peringkat tertinggi untuk merundingkan penamatan perang di Ukraine dan berusaha memulihkan saluran diplomatik.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio selepas rundingan penting dengan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, yang mengecualikan Ukraine, di Riyadh, Arab Saudi, kelmarin.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, beliau berkata, konsesi perlu dibuat oleh semua pihak untuk mengakhiri konflik tersebut.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu menandakan kali pertama pegawai tertinggi AS dan Russia bertemu secara bersemuka sejak Moscow melancarkan pencerobohan besar-besaran terhadap Ukraine pada 2022.
Rundingan itu sudah dianggap sebagai ‘kemenangan besar’ bagi Russia dan merupakan perubahan dasar ketara daripada pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini.
Delegasi AS, termasuk Rubio serta Duta AS ke Asia Barat, Steve Witkoff dan Penasihat Keselamatan Negara, Mike Waltz, mencadangkan pertemuan pada Selasa sebagai yang pertama dalam siri rundingan untuk menamatkan perang.
Ketika ditanya sama ada AS bersedia menerima Russia mengekalkan mana-mana wilayah yang ‘dirampas’ dari Ukraine sejak 2022, Waltz berkata, perkara itu masih perlu dibincangkan.
“Kami sedar realiti praktikalnya ialah akan ada perbincangan mengenai wilayah dan jaminan keselamatan.
“Tetapi, itu hanyalah asas yang akan menyokong dan mendasari sebarang jenis perbincangan,” kata Waltz.
KEBIMBANGAN KYIV, EROPAH
Selepas pertemuan itu, Presiden Donald Trump mengkritik Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky kerana enggan menerima sebarang perjanjian yang dibuat tanpa penglibatan Kyiv.
“Saya mempunyai kuasa untuk menamatkan perang ini, dan saya rasa ia berjalan dengan baik.
“Tetapi hari ini saya dengar ‘oh kami tidak dijemput’. Anda sudah berada di sana selama tiga tahun, dan sepatutnya sudah mengakhirinya dan boleh sahaja mencapai perjanjian,” kata Trump kepada pemberita di Mar-a-Lago mengenai Ukraine, kelmarin.
Russia sebelum ini menuntut Ukraine menyerahkan kawalan ke atas sebahagian besar wilayahnya dan melepaskan cita-citanya untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), syarat yang ditolak oleh Kyiv.
Namun, tanpa kehadiran di meja rundingan di Riyadh, Ukraine hanya mampu memerhati dari jauh ketika AS dan Russia dilihat mula menetapkan pendirian awal mereka.
Pengumuman bahawa Washington dan Moscow akan memulakan rundingan secara bersemuka, hanya beberapa hari selepas Trump mengadakan panggilan telefon selama 90 minit dengan rakan sejawatannya, Vladimir Putin, yang mencetuskan kebimbangan di Ukraine dan sekutu Barat Kyiv.
Malah, pemimpin Eropah mengadakan sidang kemuncak tergempar pada Isnin, menegaskan tiada rundingan damai boleh berlaku tanpa kehadiran Ukraine dan sekutunya di rantau itu.
Waltz menolak tanggapan bahawa Eropah dan Ukraine diketepikan, manakala Rubio pula menekankan sebarang perjanjian akan tetap melibatkan Kyiv.
Walaupun delegasi AS mencadangkan Ukraine mungkin perlu melepaskan wilayahnya, Rubio menegaskan semua pihak yang terlibat dalam konflik perlu bersepakat bagi mengakhiri perang itu.
Pegawai Russia tidak menyebut tawaran konsesi, manakala pihak AS juga tiada mendakwa sebarang kejayaan dalam pertemuan itu, menyebabkan pemerhati meragui sama perbincangan tersebut akan berkembang menjadi rundingan damai yang serius.
Ketika negara Eropah membincangkan kemungkinan menyumbang pasukan pengaman untuk menyokong perjanjian dama Ukraine, Lavrov berkata, Moscow tidak akan menerima penempatan tentera NATO, walaupun di bawah mana-mana bendera ia beroperasi.
Kenyataan menteri Russia itu memberi isyarat bahawa Moscow akan terus memberi tekanan untuk mendapatkan lebih banyak konsesi dalam rundingan.










