Pindaan akta tidak jejas kebebasan bersuara - Utusan Malaysia

Pindaan akta tidak jejas kebebasan bersuara

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita pada Program Temu Anak Muda Lembah Pantai di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak akan menjejaskan kebebasan bersuara dalam talian, sebaliknya bertujuan untuk menangani isu jenayah yang semakin berleluasa di platform digital.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, fokus utama pindaan tersebut adalah bagi menangani isu-isu jenayah dalam talian seperti buli siber, penipuan (scam) serta judi yang semakin membimbangkan.

Jelasnya, hak kebebasan bersuara termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun ia masih tertakluk kepada undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

“Dalam pindaan terbaharu ini, istilah ‘jelik’ yang sebelum ini digunakan dalam undang-undang telah diperhalusi dan didefinisikan dengan lebih jelas sebagai ‘jelik melampau’ bagi mengelakkan tafsiran yang terlalu luas.

“Selain itu, pindaan ini turut memasukkan huraian yang lebih terperinci bagi membolehkan ia digunakan secara lebih spesifik dalam hujahan mahkamah, sama ada untuk pihak pendakwaan atau pembelaan.

“Ini bermakna undang-undang yang dipinda menjadi lebih terang dan jelas serta tidak boleh disalahgunakan seperti sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar Program Temu Anak Muda Bersama Fahmi Fadzil di sini, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mula berkuat kuasa selepas diwartakan pada 7 Februari lepas.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan pindaan terhadap akta itu yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas menyediakan ekosistem rangkaian Internet lebih selamat dan mampan kepada pengguna.

Sementara itu, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan lapan individu yang dipercayai telah menyebarkan berita palsu mengenai Institusi Diraja, khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Jelasnya, sekiranya Jabatan Peguam Negara mendapati bahawa kertas siasatan mempunyai bukti yang mencukupi untuk pendakwaan, maka tindakan undang-undang akan diambil.

“Saya juga dimaklumkan bahawa hukuman bagi kesalahan tertentu akan menjadi lebih berat berbanding sebelum ini, selaras dengan pindaan Akta 588 yang telah diluluskan di Parlimen pada Disember lalu.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan semua agar lebih berhati-hati dalam menerima dan membaca sebarang maklumat, terutama di media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih dan meragukan.

“Sila rujuk kepada media arus perdana, tanpa mengira mana-mana organisasi, untuk memastikan kesahihan sesuatu berita.

“Jika tiada laporan daripada media arus perdana atau jika berita tersebut menggunakan bahasa yang meragukan seperti yang sering ditularkan, jangan terus sebarkan,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya