RANTAU PANJANG: Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan pemandu lori untuk menghantar pokok kayu keruing dan pelbagai jenis spesies bunga bernilai RM4.3 juta yang diseludup dari Thailand gagal selepas ditahan di lokasi berasingan di sini kelmarin.
Tangkapan dan rampasan itu dilakukan menerusi rondaan rutin yang dilakukan PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan Kampung Dedap di sini pada pukul 11 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas lori itu telah menjumpai pokok bunga iaitu puding (4,700), sandpaper (1,200), masjutik hijau (1,000), masjutik batik (800) dan oleander (500).
“Siasatan mendapati, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.8 juta. Anak-anak pokok itu disyaki sudah dijangkiti serangga perosak dan penyakit.
“Pemandu lori berusia 41 tahun itu juga dikatakan sedang dalam perjalanan untuk menghantar tanaman tersebut ke Melaka,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, tangkapan kedua pula dijalankan kira-kira pukul 9.15 malam pada hari yang sama selepas anggota PGA menahan sebuah lori di Jalan Gual Tinggi di sini.
Katanya, pemeriksaan telah menjumpai lebih 5,000 anak pokok jenis keruing yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Tanaman yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Siasatan lanjut mendapati, pemandu lori yang berusia 33 tahun itu akan menghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Jerantut, Pahang,” ujarnya.
Nik Ros Azhan berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.-UTUSAN