KANGAR: Kerajaan negeri mengumumkan waktu bekerja penjawat awam di Perlis pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan tahun ini bermula pada pukul 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, Waktu Bekerja Fleksi (WBF) Ramadan bagi penjawat awam di Perlis ini akan diperincikan melalui arahan lanjut oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail dalam masa terdekat.
Katanya, bagi pelaksanaan itu, semua ketua jabatan bertanggungjawab memastikan urusan perkhidmatan termasuk perkhidmatan kaunter berjalan lancar dan tidak terjejas.
“Sebagai kerajaan negeri yang prihatin terhadap kebajikan semua penjawat awam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang bersidang pada 26 Februari lalu telah memutuskan supaya waktu bekerja bagi penjawat awam di Perlis bermula pada pukul 8 pagi sehingga 12.30 tengah hari pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Tahun 2025, di sini, hari ini.
Selain Perlis, beberapa negeri lain seperti Pahang dan Negeri Sembilan dilaporkan turut memberi kelonggaran pulang awal buat penjawat awam pada bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kakitangan peringkat jabatan Persekutuan pula tertakluk kepada ketua masing-masing untuk digunapakai pelaksanaan WBF tersebut.
Menurut Mohd. Shukri, pihaknya berharap agar keistimewaan diberikan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin penjawat awam di negeri ini.
“Gunakan manfaat ini sebaik mungkin bagi meningkatkan ibadah dan ketaqwaan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini untuk mendapatkan keredaan Allah SWT,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga sedang melaksanakan kajian bagi
perluasan bandar dan pekan di Perlis sebagai langkah untuk mempertingkatkan ekonomi dan infrastruktur selaras dengan pembangunan semakin rancak di negeri ini.
Ujarnya, cadangan perluasan ini juga akan merangkumi penilaian semula kadar cukai yang dikenakan kepada pemilik tanah di kawasan bandar dan pekan.
“Ini adalah agar ia bersesuaian dengan kemudahan yang telah dibangunkan oleh kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN