MARAN: Pengilang, pembungkus dan pemborong beras meminta kerajaan melihat sama isu yang dihadapi oleh kelompok itu selepas usaha penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 setiap tan metrik dilaksanakan.
Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim), Ismail Awang berkata, pengilang dan pengampit beras terpaksa menanggung kos-kos sampingan yang terus meningkat seperti pengangkutan, beg plastik dan lain-lain kos utiliti sedangkan harga beras material mentah masih sama.
“Kos beras raw material 10 kilogram RM23, tambah beg plastik kosnya 50 sen, pengangkutan (90 sen) dan utiliti (RM1.50). Jadi, jumlah semua kos adalah berjumlah RM25.90.
“Sedangkan harga beras tempatan RM26 bagi pek 10 kilogram. Di sini pengilang dan pengampit beras ada 10 sen margin. Apakah masuk akal berniaga hanya untung 10 sen satu beg beras?
“Kos penghantaran kepada pengedar atau peruncit belum lagi dikira dan kalau dikira kos tersebut berjumlah 40 sen. Bermakna pengilang dan pengampit beras menangung kerugian. Inilah fenomena dialami pemborong beras. Ini yang kerajaan wajib peka dan ambil tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Khamis lalu, kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik setelah mengambil kira kenaikan kos upah dan kos input pertanian.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan sebagai berkata, penyelarasan itu turut mengambil kira kos baja dan racun serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada harga beras di pasaran.
Susulan itu, penganalisis Ekonomi dan Transformasi, Dr. Mohd. Zulkufli Zakaria dilaporkan sebagai berkata, penyelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 setiap tan metrik dilihat sebagai langkah bijak untuk menstabilkan pasaran dan memberi manfaat kepada pesawah, pengguna serta rantaian bekalan industri padi dan beras.
Zulkufli dilaporkan berkata, keputusan tersebut dapat membantu pesawah memperoleh pendapatan lebih stabil, sekali gus memastikan pengeluaran padi yang berkualiti serta bekalan beras tempatan yang mencukupi.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan perlu mengambil kira golongan pengilang dan pengampit beras yang membeli beras dari pengilang padi dengan memberikan subsidi bagi menampung kenaikan kos sampingan seperti pengangkutan, beg plastik dan lain-lain kos utiliti.
“Jika kerajaan bagi sedikit subsidi kepada pengilang dan pengampit beras ini melalui kaedah yang mudah dikawal sebanyak RM2.50 satu tan metrik, kami yakin akan beras tempatan sentiasa ada dan juga terkawal.
“Menerusi subsidi yang diberikan itu juga, pengilang dan pengampit beras secara tidak langsung akan menyalurkan semula kepada pengguna sekali gus semua peringkat tidak terbeban dan berasa dipinggirkan.
“Tidak seperti pemberian subsidi tunai kepada golongan pesawah, mereka berbelanja untuk tujuan keperluannya sahaja,” katanya.-UTUSAN.