PBB edar lebih 30,000 gelang identiti kepada kanak-kanak Gaza

PBB edar lebih 30,000 gelang identiti kepada kanak-kanak Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih daripada 30,000 gelang pengenalan diberikan kepada kanak-kanak di Gaza ketika penduduk terus bergerak merentasi wilayah itu.

Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Stephane Dujarric berkata, pihaknya dan agensi kemanusiaan sedang memperluaskan operasi bantuan ketika lebih banyak bekalan kemanusiaan memasuki Gaza.

Beliau berkata, penduduk yang dipindahkan terus bergerak antara selatan dan utara Gaza untuk bersama semula dengan keluarga serta memulakan kehidupan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setakat hari ini, kami dan rakan kemanusiaan menganggarkan lebih daripada 545,000 orang menyeberang dari selatan ke utara Gaza dalam tempoh seminggu yang lalu.

“Lebih daripada 36,000 orang dilihat bergerak dari utara ke selatan,” katanya.

Dujarric juga berkata, rakan perlindungan PBB mengedarkan lebih daripada 30,000 gelang pengenalan kepada kanak-kanak bawah umur empat tahun bagi membantu mencegah terpisah dengan keluarga.

Beliau menegaskan, gelang pengenalan itu dibuat susulan laporan mengenai lebih 250 kanak-kanak terpisah daripada penjaga mereka ketika menyeberang ke utara.

Katanya, tiga tapak sementara yang mampu menampung sekurang-kurangnya 5,000 orang didirikan di Beit Hanoun, Beit Lahiya dan Jabalya di utara Gaza.

“Sementara itu, rakan yang bekerja dalam bidang pendidikan melaporkan kira-kira 280,000 kanak-kanak dalam usia persekolahan di Gaza sudah mendaftar dalam program pembelajaran dalam talian Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA),” katanya.

Beliau turut bimbang mengenai operasi berterusan tentera Israel di Jenin dan Tulkarm, di Tebing Barat yang diduduki.

Tentera Israel memusnahkan 20 struktur kediaman yang menempatkan lebih 50 keluarga di kem pelarian Jenin, kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 keluarga kini kehilangan tempat tinggal.

“OCHA sekali lagi memberi amaran bahawa taktik peperangan yang membawa maut sedang digunakan, menimbulkan kebimbangan mengenai penggunaan kekerasan melebihi standard penguatkuasaan undang-undang,” katanya.– ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN