Nilai dagangan negara diyakini kekal RM2 trilion

Nilai dagangan negara diyakini kekal RM2 trilion

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kanan) bersama Fadillah Yusof (dua dari kiri), Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika program Golf Kita 2025 di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nilai perdaga­ngan Malaysia diyakini kekal melebihi RM2 trilion tahun ini biarpun berdepan isu potensi kelembapan ekonomi Chi­na dan pentadbiran baharu Ame­rika Syarikat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau optimis dengan perkara itu bersandarkan keadaan ekonomi negara yang dijangka terus berkembang.

“Isu-isu global seumpama itu dilihat tidak akan memberi impak besar kepada nilai perdagangan negara ini.

“Sasaran kita memang mahu kekal RM2 trilion seperti yang dicapai tahun lepas. Kita masih menjangkakan pertumbuhan positif ekonomi ketika ini,” katanya pada program Golf Amal KITA 2025 di Glenmarie Golf and Country Club di sini, semalam.

Program itu dirasmikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tahun lalu, nilai perdaga­ngan Malaysia meningkat 9.2 peratus kepada rekod tertinggi RM2.879 trilion sekali gus melepasi paras RM2 trilion selama empat tahun berturut-turut.

Eksport melebihi RM1 tri­lion selama empat tahun me­ningkat 5.7 peratus kepada RM1.508 trilion sekali gus melepasi 87.2 peratus daripada sasaran eksport yang ditetapkan bagi 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam pada itu, import meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 tri­lion, melepasi paras RM1 tri­lion untuk tahun ketiga berturut-turut.

Prestasi kukuh itu menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM136.88 bilion dan ke-27 tahun berturut-turut sejak 1998.

Mengenai ura-ura beliau ba­kal meninggalkan UMNO da­lam tempoh terdekat, beliau berkata, akan mengumumkan keputusan itu selepas berjum­pa Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Walau apa jua keputusan yang dibuat nanti, saya akan berbincang dahulu dengan beliau. Apabila sudah bincang, baru saya akan memaklumkannya dan membuat pengumuman secara rasmi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN