PETALING JAYA: Pemimpin kerajaan digesa untuk menggunakan persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini sebagai ‘pentas’ untuk mereka memberikan jawapan telus kepada isu dibangkitkan pemimpin pembangkang terutama melibatkan kesejahteraan rakyat.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, blok pembangkang akan terus mengasak kerajaan dengan membangkitkan isu rakyat terutama berkaitan kenaikan kos sara hidup.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan perlu memberikan jawapan yang tuntas dan tidak berdalih seperti mana dilakukan dalam persidangan Dewan Rakyat terdahulu.
“Pada sidang yang lepas, banyak kali ahli-ahli Parlimen merungut kerana menteri tidak menjawab soalan dibangkitkan, sebaliknya menggunakan masa yang diperuntukan untuk mereka membuat penerangan sahaja. Perkara yang tidak ditanyalah mereka terangkan.
“Apabila kita mintak jawapan secara bertulis, ramai dari kalangan ahli Parlimen pembangkang tidak menerimanya dari kementerian berkaitan walaupun sidang sudah habis. Jadi kita harap kali ini, keerajaan serius dan komited dengan apa dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini akan dimulakan dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersempena dengan pembukaan penggal Parlimen ke-15 kali ini.
Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 18 hari iaitu hingga 6 Mac ini dan menyaksikan pelbagai Rang Undang-Undang (RUU) dan usul dibawa kerajaan, selain menjawab soalan dari blok pembangkang.
Mas Ermieyati yang juga Ketua Portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau secara peribadi akan memberikan fokus terhadap isu-isu melibatkan industri pelancongan negara.
“Apa sahaja yang berkaitan dengan portfolio saya, akan menjadi antara tumpuan dan perhatian oleh saya selain daripada isu rakyat lain,” jelasnya.
Sementara itu, beliau yang juga Ketua Srikandi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu) tidak menolak sekiranya isu Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibangkitkan dalam sidang kali ini.
“Saya baru balik umrah, jadi tentang (Titah Adendum) itu saya tidak boleh komen, boleh tanya pada ahli Parlimen lain kerana semasa perbincangan itu saya tidak ada,” jelasnya. – UTUSAN











