SEMENYIH: Keputusan guru untuk bersara awal adalah pilihan peribadi yang perlu dihormati dan dipertimbangkan dengan teliti terutama dalam konteks pendidikan yang berteraskan nilai kemanusiaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, terdapat pelbagai faktor seperti kesihatan dan tanggungjawab keluarga yang mempengaruhi keputusan tersebut.
“Kita perlu ingat keputusan untuk bersara awal adalah pilihan peribadi.
“Jika kita bercakap mengenai pendidikan manusiawi, pentadbiran kita juga perlu bersifat manusiawi dengan mengambil kira keinginan dan keperluan guru, terutama apabila ia berkaitan dengan isu kesihatan dan tanggungjawab keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kebangsaa (SK) Taman Pelangi Semenyih, di sini hari ini.
Seramai 1,500 murid mendaftar masuk ke Sk Taman Pelangi Semenyih, meliputi peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, kerjaya sebagai guru memerlukan komitmen yang lama iaitu sehingga 30 tahun perkhidmatan.
Beliau berkata, ini adalah antara faktor yang diambil kira dalam membuat keputusan untuk bersara awal.
Katanya, langkah intervensi yang efektif untuk mengimbangi kesan daripada persaraan awal juga amat penting.
“Perbincangan bersama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) amat penting bagi memastikan kekosongan ditinggalkan oleh guru yang bersara awal dapat diisi dengan pengambilan guru baharu secara konsisten.
“Ini penting untuk menangani isu kekurangan guru secara berterusan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, terdapat dua kategori utama persaraan bagi guru iaitu persaraan wajib dan persaraan pilihan.
“Setiap tahun, seramai 5,000 hingga 6,000 orang guru bersara wajib, manakala bagi persaraan pilihan, jumlahnya berbeza-beza bergantung kepada alasan peribadi mereka.
“Walaupun tiada jumlah tetap, penting untuk kita memahami sebab di sebalik keputusan tersebut bagi membolehkan langkah intervensi yang sesuai dilaksanakan,” katanya.