BAGAN SERAI: Sebanyak RM813,081 diperuntukkan menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) untuk membantu 702 pesawah di negeri ini yang terkesan akibat kemarau dan banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, inisiatif itu sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan pesawah dan memastikan rantaian bekalan makanan negara terus stabil.
“Kemarau yang melanda menjejaskan kawasan tanaman padi seluas 778.15 hektar di seluruh Perak, termasuk 470.93 hektar di daerah Kerian.
“Selain itu, 0.70 hektar kawasan tanaman lain turut terjejas akibat banjir,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di Dewan Komuniti Bagan Serai, semalam.
Kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan di bawah Tabung Bencana Pertanian (TBP) kepada tiga penerima di Kerian dengan jumlah keseluruhan RM6,000.
Menurut Mohd. Zolkafly, secara keseluruhan, kerajaan negeri dan Persekutuan telah meluluskan bantuan berjumlah RM812,081.28 di bawah TBTP kepada 702 pesawah yang terkesan.
“Bagi TBP pula, sejumlah RM1,411,842.10 telah diperuntukkan untuk membantu 110 petani dan penternak dalam sub sektor tanaman makanan, ternakan, dan akuakultur,” katanya.
Katanya, Perak merupakan pengeluar padi ketiga terbesar di negara ini.
Mohd. Zolkafly berkata, sektor pertanian kini berdepan cabaran besar akibat perubahan iklim yang memberi kesan langsung kepada pengeluaran hasil tanaman serta kestabilan rantaian bekalan makanan.- UTUSAN











