‘Kek’ ekonomi untuk pembangunan – PM

‘Kek’ ekonomi untuk pembangunan – PM

MENTERI-Menteri Kabinet menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15, semalam. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan memastikan ‘kek’ ekonomi di­raih negara digunakan untuk pembangunan meliputi sege­nap lapisan masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim jelas menzahirkan keprihatinan terhadap usaha memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

Katanya, Seri Paduka turut menzahirkan keprihatinan terha­dap usaha berterusan kerajaan membawa masuk pelbagai peluang pelaburan agak kemajuan ekonomi negara dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Patik dan seluruh jentera Kerajaan Madani akan memastikan kek ekonomi ini digunakan untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat termasuk pekebun kecil, petani, nelayan dan pemain industri pertanian serta rantaian bekalan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran Facebook miliknya selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 (2025) semalam.

Anwar berkata, dalam titah Yang di-Pertuan Agong, bagin­da turut menyentuh menggunapakai teknologi tinggi dan terkini dari aspek digitalisasi dan keselamatan siber.

“Justeru patik percaya, ini akan membawa kepada revolusi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan yang lebih baik apabila selesai di­naik­taraf sepenuhnya.

“Memanjatkan doa dan ha­rapan semoga bumi bertuah Malaysia ini kekal aman makmur dan berdaya saing berpanjangan di bawah pemerintahan Tuanku,” katanya.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menyambut baik usaha kerajaan bagi meningkatkan pelaburan asing berkaitan tek­nologi tinggi dan digital.

Pada masa sama, Seri Paduka bertitah agar pengukuhan infrastruktur dan ekonomi di­gital, peningkatan keselamatan siber serta penggunaan teknologi terkini, perlu dilaksanakan dengan segera.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan sukacita dengan keadaan ekonomi dan prestasi perdagangan negara yang bertambah baik dan ia membawa nikmat kemakmuran kepada rakyat dan tidak memberi keuntungan kepada kumpulan tertentu sahaja.

“Saya bersyukur melihat per­kembangan ekonomi, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah.

“Pada tahun lepas, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor dan jumlah perdagangan negara telah melepasi RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan pertama,” titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×