TOKYO: Jepun bakal membenarkan individu dari Taiwan bagi mendaftarkan pulau itu sebagai tempat asal mereka dalam daftar keluarga negara, menggantikan China, bermula Mei ini.
Menurut pegawai Kementerian Kehakiman Jepun, perubahan tersebut dibuat selepas pindaan terhadap peraturan kementerian bagi membolehkan nama sesebuah wilayah ditulis dalam ruangan kewarganegaraan.
“Sebelum ini, individu dari Taiwan yang berkahwin dengan warganegara Jepun terpaksa mendaftarkan asal usul mereka sebagai dari China dalam sistem daftar keluarga yang diselenggara oleh kerajaan tempatan,” katanya sebagaimana dipetik agensi berita AFP.
Keputusan ini dibuat selepas menerima permintaan daripada pasangan Taiwan yang mahu identiti wilayah mereka dihormati.
Kerajaan Taiwan menyambut baik langkah tersebut, dengan jurucakap Kementerian Luar, Hsiao Kuangwei menyifatkannya sebagai langkah yang menunjukkan penghormatan terhadap identiti negara dalam pengenalan diri mereka.
Sementara itu, pegawai Jepun turut menjelaskan sijil pemastautin bagi warga asing yang menetap secara jangka panjang di negara itu sudah membenarkan rakyat Taiwan menyatakan asal usul mereka sebagai dari Taiwan.
Bagaimanapun, perubahan itu dijangka mengundang reaksi negatif dari Beijing, yang menganggap Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya dan berulang kali menyatakan kesediaan menggunakan kekerasan jika perlu untuk membawa pulau itu di bawah pentadbirannya.
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun dalam kenyataan semalam menggesa Jepun supaya mematuhi dasar ‘Satu China’ serta prinsip yang dipersetujui dalam dokumen politik antara kedua-dua negara.
Jepun memutuskan hubungan rasmi dengan Taiwan pada 1972 selepas mengeluarkan kenyataan bersama dengan Beijing, memahami dan menghormati prinsip bahawa ‘Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah Republik Rakyat China’.
Bagaimanapun, Jepun mengekalkan hubungan ekonomi rapat dengan Taiwan, termasuk kehadiran syarikat gergasi cip Taiwan, TSMC yang membuka kilang baharu di wilayah Kyushu tahun lalu.- AGENSI










