Jangan tunggu PRU baru mahu gerak bersama

Jangan tunggu PRU baru mahu gerak bersama

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Perikatan Nasional (PN) perlu menyelaraskan gerak kerja bersama dari awal bagi mengelak sebarang pertembungan khususnya dalam pemilihan calon menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (gambar) berkata, kedua-dua parti itu perlu menyelaraskan aktiviti dan program bersama di peringkat pusat, cawangan dan kawasan serta bukannya menunggu sehingga pilihan raya.

Katanya, itu penting bagi mengukuhkan lagi kerjasama selain menunjukkan parti-parti berkenaan bekerja bersama.

“Saya rasa sepatutnya Bersatu dan Pas selaraskan aktiviti bersama. Program-program membabitkan Pas, Bersatu kena hadir begitu juga sebaliknya. Jangan tunggu pilihan raya baru hendak gerak bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata mengenai persiapan parti itu untuk menghadapi kemungkinan berlaku pilihan raya umum (PRU) mengejut hujung tahun ini.

Kata Mohamed Azmin, perkara itu ditegaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta semua jentera parti digerakkan sekarang.

Kata beliau, perbincangan juga memberi tumpuan kepada perkembangan yang amat meyakinkan susulan perbincangan khas dalam kalangan pimpinan tertinggi Bersatu dan Pas pada 5 Februari lalu yang turut dihadiri oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Hashim berkata, Pas tidak nampak sebarang alasan atau hujah yang kukuh untuk berlakunya pilihan raya mengejut sebagaimana kenyataan Mohamed Azmin.

Bagaimanapun katanya, Pas tidak pernah menunggu sehingga menjelangnya pilihan raya bagi memulakan gerak kerja sebaliknya usaha tersebut dilakukan sejak awal lagi.

“Bersatu juga perlu memulakan gerak kerja dari awal bukan menunggu sehingga pilihan raya. Di dalam Pas, persediaan dilakukan secara berterusan dengan jentera kita sentiasa bersedia mendepani pilihan raya.

“Kita sentiasa istiqamah dalam gerak kerja dengan pelbagai aktiviti dilaksanakan tidak kira masih jauh atau hampirnya pilihan raya. Itu juga adalah sebahagian daripada persediaan apabila berlakunya pilihan raya.

“Kalau dilihat daripada aktiviti dilaksanakan atau dirancang, Pas sentiasa bersedia. Program di peringkat pusat atau kawasan berjalan dengan baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×