GAZA: Tujuh rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak cedera dalam dua serangan Israel di Gaza semalam, meskipun wilayah itu ‘terikat’ dengan perjanjian gencatan senjata.
Saksi berkata, sebuah dron Israel menyerang kenderaan di Jalan Al-Rashid, barat kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.
Sumber perubatan berkata, lima orang cedera, termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Dua lagi rakyat Palestin cedera apabila sebuah dron menyerang sebuah jentolak di kawasan al-Faraheen, timur Khan Younis di selatan Gaza.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas satu lagi dron Israel menembak dua peluru berpandu berhampiran kereta yang bergerak di sepanjang jalan sama, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut saksi, serangan tersebut menyebabkan panik dalam kalangan rakyat Palestin yang menggunakan jalan itu untuk kembali ke kawasan utara Gaza.
Tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah rumah-rumah Palestin di kem pelarian Bureij di tengah Gaza dan timur Rafah di bahagian selatan wilayah.
Ratusan ribu warga Palestin mula kembali ke rumah mereka di utara Gaza, buat kali pertama sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan menghentikan perang, dengan matlamat mencapai keamanan kekal serta pengunduran tentera dari wilayah Gaza.- AGENSI











