Israel makin agresif serang Tebing Barat

Israel makin agresif serang Tebing Barat

KENDERAAN berperisai tentera Israel menyerbu sepanjang jalan di Tulkarm, dalam operasi ketenteraan di utara Tebing Barat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin termasuk 10 kanak-kanak terbunuh akibat serangan tentera Israel di Tebing Barat sejak awal tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan semalam, kementerian memaklumkan serangan Israel mengorbankan 38 nyawa di Jenin, 15 di Tubas, enam di Nablus, lima di Tulkarm, tiga di Hebron, dua di Bethlehem dan satu di Baitulmuqaddis Timur.

Operasi ketenteraan besar-besaran Israel, dikenali sebagai ‘Iron Wall’, dilancarkan bulan lalu, selepas mengumumkan gencatan senjata di Gaza.

Serangan itu dipercayai menyasarkan kumpulan bersenjata Palestin di sekitar Jenin.

Kementerian turut melaporkan, selain 10 kanak-kanak, serangan Israel turut mengorbankan seorang wanita dan dua warga emas Palestin.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengecam serangan tersebut dan menegaskan rakyat Palestin tidak akan menerima rancangan penempatan semula atau ‘tanah air alternatif’.

Jurucakap PA, Nabil Abu Rudeineh berkata, pihak berkuasa pendudukan Israel sedang meluaskan serangan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat untuk melaksanakan rancangan yang bertujuan memindahkan penduduk dan melakukan pembersihan etnik.

“Dasar-dasar pendudukan Israel menyebabkan ratusan orang cedera atau ditahan, selain memusnahkan seluruh blok perumahan di kem pelarian Jenin dan Tulkarm, pemindahan ribuan penduduk serta kemusnahan besar infrastruktur,” katanya dalam kenyataan.

Ahad lalu, pasukan Israel merobohkan 23 bangunan di kem pelarian Jenin, menyebabkan kira-kira 15,000 penduduk terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka.

Dalam pada itu, organisasi Doctors Without Borders (MSF) mengutuk serangan Israel di Tebing Barat, khususnya di Jenin, Tulkarem dan Tubas.

Ia turut memberi amaran sekatan Israel di Jenin menyebabkan kekurangan bekalan penting sehingga terpaksa menyediakan 10,000 liter bahan api dan 800,000 liter air untuk hospital di Jenin, selain membantu mengagih makanan, kit kebersihan dan tilam di kem Jenin dan Tulkarm.

Walaupun kecaman bertalu-talu, serangan tentera Israel di Tebing Barat terus berlanjutan, dengan tentera Israel mengerahkan kereta kebal berperisai dalam serbuan di wilayah yang diduduki, menunjukkan serangan tersebut dijangka semakin meningkat.

Keadaan ini semakin tegang selepas gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, selepas lebih 15 bulan serangan Israel yang menghancurkan Gaza dan meragut hampir 62,000 nyawa rakyat Palestin, termasuk ribuan yang masih hilang dan disyaki terbunuh. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN