ATHENS: Pihak berkuasa Greece menghantar pasukan khas, penyelamat, khemah dan dron ke pulau peranginan Santorini selepas lebih 200 gegaran seismik direkodkan dalam tempoh 48 jam lalu.
Orang ramai turut dinasihatkan menjauhi pantai, bangunan dan kolam renang serta mengelakkan berkumpul dalam ruang tertutup berikutan kebimbangan gempa bumi lebih besar yang boleh mencetuskan tsunami.
Kementerian Perlindungan Awam Greece mengumumkan sekolah akan ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
Greece terletak di atas beberapa garis sesar dan sering mengalami gempa bumi.
Namun, peningkatan mendadak aktiviti seismik dalam tempoh dua hari ini disifatkan sebagai ‘luar biasa’ oleh pakar, meskipun mereka menegaskan gegaran itu berpunca daripada pergerakan tektonik, bukan aktiviti gunung berapi.
Santorini, yang pernah mengalami salah satu letusan gunung berapi terbesar dalam sejarah, merupakan destinasi pelancongan paling popular di Laut Aegean, menarik kira-kira 3.5 juta pelancong tahun lalu.
Menjelang petang Ahad, langkah berjaga-jaga turut diperluaskan ke Amorgos serta pulau berhampiran, Ios dan Anafi.
Pasukan penyelamat di Santorini telah mendirikan khemah di kawasan tinggi termasuk gelanggang bola keranjang dan tempat letak kereta.
Orang ramai diberi arahan supaya bergerak ke pedalaman sekiranya berlaku tsunami.
Syarikat feri melaporkan peningkatan jumlah pekerja asing yang meninggalkan pulau itu menuju ke pelabuhan Piraeus, Athens.
Kajian sebelum ini menunjukkan kerak bumi di dasar laut sekitar Santorini dipenuhi garis sesar di mana pada tahun 1956, gempa bumi melebihi 7 pada skala Richter telah menyebabkan tsunami dan kemusnahan besar di pulau tersebut.— AGENSI











