KUANTAN: Garis panduan bagi orang Islam menghadiri majlis perayaan kaum lain bukan menggambarkan sikap rasis tetapi sebagai benteng bagi memastikan akidah umat Islam khususnya golongan muda tidak tergelincir.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan (mewakili golongan profesional), Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, garis panduan itu juga dapat mengelak perbalahan antara umat Islam sendiri tentang isu sama ada boleh atau tidak mengikuti aktiviti perayaan kaum lain.
“Sepatutnya kita sokong, bukan kata kita ini tidak tahu batasan tetapi semakin hari kita lihat generasi muda khususnya kurang sensitiviti terhadap pegangan agama. Jadi kita bimbang mereka ini terpengaruh dengan perkara-perkara yang membatalkan kalimah syahadah.
“Kita perlukan garis panduan ini sebab kita tidak mahu setiap tahun kita bergaduh, bila tiba Krismas contohnya bergaduh antara orang Islam, ada kata boleh kita pergi ada kata tak boleh pergi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kerusi urut untuk kegunaan orang ramai di Pusat Perubatan Tijani di sini, semalam.
Pada 7 Februari lalu, Perdana Menteri berkata, tiada keperluan untuk mengadakan satu garis panduan khusus bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, seharusnya isu berkenaan juga tidak perlu dibangkitkan lagi selepas ini kerana ia juga telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Ahmad Irshadi berkata, garis panduan berkenaan amat wajar supaya umat Islam sentiasa berhati-hati dan ia tidak sesekali menggambarkan perpecahan antara kaum tetapi bagi menjaga sensitiviti seterusnya mengukuhkan lagi perpaduan yang telah lama wujud.